Saingan badminton berakhir pada Selasa (29 Ogos) di Arena Axiata Bukit Jalil dengan Malaysia hanya memenangi satu emas menerusi pemain berusia 17 tahun, Goh Jin Wei dalam perseorangan wanita, satu pencapaian yang dianggap hambar bagi sebuah kuasa badminton seperti Malaysia. 

Sambil mengucap tahniah kepada Jin Wei kerana kejayaan emas, presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria berkata Malaysia boleh melakukan yang lebih baik jika tidak kerana persembahan mengecewakan dalam saingan perseorangan. 

“Saya ucapkan tahniah kepada Jin Wei kerana menang emas dan juga Soniia Cheah kerana layak ke perlawanan akhir. Bagaimanapun, pemain-pemain perseorangan lelaki kita  masih mengecewakan. Terdapat juga kecenderungan di kalangan pemain kita yang tidak mampu memenangi perlawanan.

“Menangani saat penting dan genting menjadi masalah kepada mereka,” kata Datuk Seri Norza. 

Malaysia menamatkan saingannya dalam pertandingan badminton pada Sukan SEA ke-29 dengan satu pingat emas, empat perak dan dua gangsa berbanding dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa di Singapura dua tahun lepas.

- Advertisement -