Kehadiran awal pasukan basikal Indonesia di Kuala Lumpur membuktikan kesungguhan skuad itu untuk mengulangi kejayaan di Singapura. Kredit Foto – www.asiana.my

SKUAD berbasikal Indonesia, kuasa dalam acara ujian masa, memasang sasaran meraih emas dalam acara berkenaan dengan kehadiran jaguh ujian masa individu Robin Manullang untuk memperkuat saingan bagi berbasikal trek Sukan SEA KL2017 yang bermula 21 Ogos ini.

Kehadiran awal di Kuala Lumpur membuktikan kesungguhan skuad itu untuk mengulangi kejayaan di Singapura dua tahun lalu dengan Robin menjadi sandaran utama membawa pulang emas dalam acara ujian masa individu.

Ketua jurulatih Suwandra, sejurus tiba di KLIA berkata, sasaran lain ialah memenangi emas dalam ujian masa berpasukan.

Kredit Foto – www.asiana.my

Barisan pelumba, menurut Suwandra, akan dikerah terus menjalani latihan pada Jumaat (11 Ogos) untuk menyesuaikan diri dengan trek baru di Velodrom Nasional di Nilai dan laluan acara ujian masa di Putrajaya.

“Sememangnya, kami hadir dengan sasaran khusus mahu menang ujian masa berpasukan dan telah lama mempersiapkan diri untuk misi itu,” kata Suwandra lagi.

“Misi pertama kini mahu terus saja lakukan ujian di trek baru di Velodrom Nilai. Ya, bukan mudah kerana Vietnam, Thailand dan tidak terkecuali tuan rumah Malaysia juga amat ampuh kekuatan mereka,” kata beliau.

Di kalangan negara peserta, hanya Thailand dan tuan rumah Malaysia menyertai kesemua 20 acara dalam saingan berbasikal dengan acara lepas beramai-ramai individu Lelaki menarik penyertaan 55 pelumba dari 10 pasukan.

Berbasikal trek mempertandingkan 13 emas iaitu pecut elit lelaki dan wanita, kejar-mengejar individu (L), kejar-mengejar berpasukan (L), 500 meter ujian masa (W), 1,000 meter ujian masa individu (L), keirin (L/W), pecut berpasukan (L/W), perlumbaan scratch (L) dan omnium (L/W).

- Advertisement -