MISI memburu 11 daripada 13 emas yang dipertandingkan dalam acara berbasikal trek Sukan SEA bermula pada Ahad (26 Ogos) bagi skuad negara yang bermula dengan rentak bergaya meraih 3 emas dan satu gangsa pada hari pertama saingan berbasikal di Velodrom Nasional di Nilai.

Gandingan mantap Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Adnan menghasilkan pingat emas acara pecut berpasukan wanita dengan masa 34.671s. Mereka mengetepikan pelumba Indonesia yang mencatat 35.211s.

Thailand mencatat masa 36.213s untuk memenangi gangsa.

Ketika ditemui, Fatehah berkata ia permulaan yang baik bagi dirinya sekaligus menjadi pendorong bagi beliau untuk berlumba dengan baik dalam tiga lagi acara.

“Saya mahu menjadi pelumba basikal wanita pertama yang memenangi kesemua empat acara yang saya mengambil bahagian.

“Kemenangan hari ini memberi semangat kepada saya untuk berlumba dengan lebih baik lagi. Saya mahu menang empat pingat emas,” kata Fatehah.

Pelumba berusia 28 tahun itu mempunyai tiga lagi acara untuk bertanding iaitu pecut individu, keirin dan pecut 500m.

Pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Fatehah menang tiga pingat emas dalam acara trek.

Sementara itu, penantian emas 10 tahun skuad pecut berpasukan lelaki berakhir apabila memenangi emas dalam acara itu.

Kali terakhir pelumba Malaysia memenangi acara itu ialah pada 2007 di Korat, Thailand menerusi Azizulhasni Awang, Junaidi Mohamad Nasir dan Muhammad Edrus Md. Nasir.
Pada Ahad, pingat emas bagi acara itu dihasilkan menerusi Mohd. Shariz Efendi Mohd. Shahrin, Mohd. Fadhil Mohd. Zonis dan Mohd. Khairil Nizam Rasol.

Mereka menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas 44.776s, cukup untuk menewaskan pelumba Thai yang meraih pingat perak. Indonesia memiliki pingat gangsa.

Ini merupakan emas ketiga Malaysia pada hari pertama acara trek dengan sumbangan pertama daripada Irwandi Lakasek acara scratch.

Pelumba wanita Jupha Somnet cuma memenangi gangsa acara omnium wanita akhir.
 

- Advertisement -