PASUKAN Hoki Dalam Dewan lelaki negara  membenam Indonesia 5-1 untuk pingat emas di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu (26 Ogos).

Malaysia menjaringkan  gol menerusi  Mohd Shafiq Yaacob (minit ke-5), Shazril Irwan Nazli (minit ke-19), Muhammad Najib Abu Hassan (minit ke-23), Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (minit ke-25) dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad (minit ke-39).

Gol Indonesia dijaringkan oleh Alvin Nourul Saepul Mimbar pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti.

Bagi pingat gangsa, Singapura menewaskan Thailand 3-1 manakala Vietnam membelasah Filipina 7-0 untuk kedudukan tempat kelima.

Jurulatih kebangsaan,  Amin Rahim berkata: “Saya bersyukur kerana menang emas kerana kita cuma menjalani latihan lima bulan sahaja. Ia satu pendedahan yang baik untuk semua pasukan. Kita banyak belajar.”

Kapten pasukan, Najib Hassan berkata latihan yang mereka jalani lima bulan terakhir adalah sukar dan kemenangan itu dianggap berbaloi.

Skuad wanita telah memenangi gangsa pada hari Jumaat (25 Ogos).

- Advertisement -