Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bermula secara tidak rasmi sejak 14 Ogos lalu memberi pengalaman yang cukup istimewa buat penyokong-penyokong kontijen Kemboja di Malaysia.

Meskipun jumlah mereka tidak ramai sepertimana penyokong Indonesia, Thailand ataupun Myanmar, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri kehangatan temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara ini.

Sejak dari bermulanya aksi bolasepak lelaki Kumpulan B antara Kemboja dan Filipina, sehinggalah berlangsungnya beberapa acara lain membabitkan atlet dari negara itu, mereka hadir untuk memberi sokongan.

“Ini kali pertama saya dan rakan-rakan berpeluang merasai kemeriahan Sukan SEA, melihat sendiri di depan mata. Memang cukup teruja dengan apa dilakukan Malaysia kerana seperti diketahui negara kami tidak pernah anjurkan Sukan Sea jadi kami tidak pernah merasainya.

“Melalui temasya ini jugalah peluang kami melihat atlet negara kami, menang atau kalah itu tidak penting. Yang penting kami dapat tunjukkan sokongan,” kata Nongvutha Vatey yang sudah menetap lebih lapan tahun di Malaysia.

Nongvutha bersama rakan-rakannya hadir menyaksikan perlawanan bolasepak lelaki Kumpulan B di antara Kemboja dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada Khamis (17 Ogos).

Seorang lagi penyokong Kemboja, Micheline Piseth pula berkata, “Terima kasih kepada penganjur yang menyediakan maklumat lengkap mengenai atlet dan jadual pertandingan. Ini memudahkan kami untuk memilih lokasi mahu dituju untuk melihat atlet kami bertanding.

“Baru-baru ini kami ke Stadium Selayang, kemudian tengok pasukan kami menang gangsa Chinlone. Pengangkutan juga mudah malah diberi diskaun. Kami gembira dapat menjadi sebahagian dari penonton di sini.”

Selepas empat hari temasya KL 2017 berlangsung, Kemboja ketika ini sudah meraih dua pingat gangsa manakala ketika edisi ke-28 di Singapura mereka menamatkan cabaran dengan satu emas, lima perak dan sembilan gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -