Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu bersikap realistik di dalam meletakkan sasaran buat skuad bolasepak B-22 kebangsaan yang akan mengalas cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan A bersama Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos membawa misi getir merampas semula pingat emas acara bolasepak yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2011 di Indonesia.

Biarpun mengakui menang pingat emas sentiasa menjadi keutamaan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu enggan memberi tekanan kepada skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee sebaliknya berharap kesemua pemain tampil dengan semangat juang dan komitmen tinggi untuk mendapatkan  keputusan terbaik.     

“Sudah tentu harapan ke atas mereka adalah tinggi, sasaran adalah cuba dapatkan emas, tetapi saya perlu realistik. Saya mahu mereka bermain dengan pemikiran yang tidak terganggu, bermotivasi, dan tidak mahu letak beban di bahu mereka kerana mereka bermain di tempat sendiri dan seluruh negara akan menyaksikannya.

“Dengan apa yang telah ditunjukkan di kelayakan Kejuaraan B-23 AFC baru-baru ini, kita lihat banyak hasil positif jadi saya yakin mereka dapat tampilkan satu prestasi yang kita semua harapkan dan pulang dengan keputusan yang boleh dibanggakan.

“Kita perlu ingat Thailand sebuah pasukan cukup mantap, Indonesia juga menunjukkan peningkatan. Tetapi kita juga mempunyai pemain berkualiti, dengan rencana taktikal yang baik dan persiapan rapi oleh barisan kejurulatihan, kita berupaya berikan tentangan sengit,” kata TMJ.

TMJ berkata FAM sentiasa bersedia memenuhi keperluan skuad B-22 dan dalam masa sama turut menjanjikan ganjaran buat skuad negara andai dapat memenangi ibu segala pingat emas itu namun tidak mendedahkan jumlahnya.

Baginda bercakap kepada pemberita setelah mengadakan pertemuan dan memberikan kata semangat kepada kesemua empat pasukan di bawah FAM yang akan bermain di KL2017 iaitu skuad bolasepak lelaki dan wanita serta skuad futsal lelaki dan wanita. 

Tambah TMJ lagi, “Saya tidak mahu kalau tak capai sasaran terus kecewa, terus berputus asa dan terus menghukum pemain serta keseluruhan pasukan. Sebagai presiden, saya akan sentiasa bersama mereka dan mahu menjadi lebih suportif.  Apa yang saya tekankan adalah kejayaan jangka panjang dan tidak akan membuat penilaian terhadap mereka dalam tempoh terdekat.”

Untuk rekod, ketika kali terakhir Sukan SEA diadakan di Kuala Lumpur yang juga pertama kali bolasepak dikhususkan kepada skuad B-23 tahun, Malaysia memenangi pingat perak setelah tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Thailand juga merupakan penyandang pingat emas Sukan SEA sejak dua edisi lalu dan mereka adalah pilihan untuk mempertahankannya sekali lagi di KL2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -