Atlet para negara, yang sedang menjalani sesi latihan terakhir program pemantapan semangat kontinjen Malaysia, kini berada dalam kondisi dan keadaan terbaik menjelang bermulanya Sukan Para ASEAN yang bermula 17 September ini.

Kesemua 326 atlet yang berada dalam kontinjen Malaysia kini tidak sabar mengharungi cabaran untuk merealisasikan sasaran meraih 103 pingat emas seterusnya membolehkan negara muncul juara keseluruhan apabila temasya berakhor pada 23 Sept.

Chef de Mission Datuk Subramanian Raman giat mempastikan semua persiapan berjalan lancar tanpa banyak kekurangan terutama menyediakan suasana terbaik untuk atlet untuk terus fokus dalam persiapan mereka.

Bagi memastikan kejayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bergading bahu memberikan sokongan terbaik termasuk menyediakan sehingga 80 kakitangan bagi menjayakan kem Team MAS berkenaan. Kontinjen negara ditempatkan di hotel Renaissance sebagai penginapan rasmi kontinjen.

Datuk Subramaniam berpuas hati dengan pelbagai kemudahan di hotel penginapan kontinjen yang membolehkan atlet memberikan fokus sepenuhnya kepada saingan mereka.

“Soal makanan, penginapan, bantuan perubatan dan lain lain keperluan khusus semuanya tersedia. Pegawai Kementerian Kesihatan juga sentiasa memantau kualaiti makanan untuk mengelakkan sebarang kejadian keracunan makanan.

“Begitu juga, soal aksesibiliti dan persekitaran yang kondusif yang membantu menstabilkan emosi selain membakar semangat juang mereka,” kata beliau.

Soal disiplin atlet juga menjadi keutamaan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Ini termasuk menghadkan waktu lawatan keluarga hanya selepas latihan atlet selain hanya boleh berjumpa di lobi hotel.

“Apa juga aktiviti pada lewat malam tidak dibenarkan dan atlet mesti menghadiri program motivasi setiap malam dari 8.30 hingga 10.30 malam,” kata Datuk Subramaniam.

Menurut beliau, selepas Ahad ini (10 Sept), semua atlet akan memberikan tumpuan khusus terhadap latihan acara masing-masing sehinggalah hari pertandingan mereka.

- Advertisement -