Di sebalik mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Timor Leste 3-0 dalam aksi Kumpulan A di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) Bawah 19 tahun, pengendali skuad B-18 negara Bojan Hodak tetap belum berpuas hati dengan prestasi pemainnya.

Jurulatih dari Croatia itu berpendapat pasukannya terlalu mengambil mudah cabaran Timor Leste dan mengambil masa terlalu lama untuk menterjemahkan rentak permainan sebenar mereka.

“Kami bermain agak bersahaja di separuh masa pertama dan memberi Timor Leste terlalu banyak ruang. Hanya di separuh masa kedua, pemain lebih agresif dan pasukan lawan gagal menandingi kepantasan permainan kita, membolehkan kita menambah dua lagi jaringan.

“Secara taktikalnya pemain-pemain agak berdisiplin namun ada ketikanya berterabur. Tetapi ianya normal mengambil kira ini adalah sebuah skuad yang masih muda. Barisan serangan juga tidak begitu lancar namun ia sudah kita jangka kerana kita berlatih hanya dua minggu,” ujarnya.

Dalam aksi berlangsung di Stadium Thuwuna, Yangon itu, pasukan negara membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi bintang muda meningkat naik, Akhyar Rashid dan menambah dua lagi jaringan di babak kedua menerusi Nurfais Johari (m-56) dan Saiful Iskandar Azha Saiful Azlan (m-90).

Ia kemenangan ketiga buat Malaysia setelah turut menundukkan Laos (4-1) dan Singapura (3-1) sebelum ini sekaligus membolehkan mereka memimpin kedudukan kumpulan dengan sembilan mata, mengatasi pasukan tangga kedua Thailand dengan beza jaringan.

Selepas ini Malaysia akan bertemu pula dengan Kemboja pada Ahad (10 September) dan menutup aksi peringkat kumpulan dengan menentang Thailand pada Selasa (12 September).

Kejohanan ini juga digunakan Bojan sebagai satu daripada platform mempersiapkan pasukan muda negara untuk kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan dari 31 Oktober – 8 November depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -