Debaran semakin memuncak menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Piala Remaja KPM-FAM (B-17) 2017 pada Sabtu ini yang akan menjadi penentu siapakah dua pasukan yang meneruskan kemaraan ke pentas akhir.

Di Setiu, juara bertahan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas akan melayan kunjungan bekas juara, SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R manakala SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian pula bertandang ke Bukit Serindit untuk menentang SSN Melaka, SMK Seri Kota.

Dalam aksi separuh akhir pertama yang berlangsung pada Jumaat lalu, Bukit Nenas diikat 2-2 oleh Tunku Anum manakala Mutiara Impian pula menjaringkan lima gol di separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Seri Kota.

Jurulatih Bukit Nenas, Zainudin Md Zain percaya pasukannya mempunyai kualiti diperlukan untuk menyingkirkan Tunku Anum meskipun menjangkakan pasukan itu akan tampil lebih agresif dan memberi tentangan sengit untuk mencipta kejutan ke atas pasukannya. 

“Kita tidak pandang rendah pada Tunku Anum, mereka sebuah pasukan yang sangat bagus, tetapi dengan kelebihan bermain di tempat sendiri dan mengambil kira kesungguhan ditunjukkan pemain sepanjang sesi latihan, saya fikir kami di landasan yang tepat untuk sekali lagi ke final.

“Sudah tentu saya akui kita tidak boleh lari dari tekanan, kerana kami adalah juara bertahan. Tetapi pemain-pemain kami sudah bersedia menggalas tanggungjawab. Mental mereka kuat, kita telah kenalpasti bahagian-bahagian yang masih pincang, perlu ditambah baik dan cukup yakin dapat menunjukkan potensi sebenar untuk mencatat kemenangan,” jelas Zainudin.  

Untuk rekod, dalam tempoh empat tahun terakhir, Bukit Nenas mara ke final sebanyak tiga kali iaitu pada 2013, 2014 dan 2016 dan memenangi ketiga-tiganya manakala Tunku Anum yang merupakan juara edisi 2010, 2011 dan 2012 pula tidak pernah merasai nikmat final selepas tewas di perlawanan akhir 2013.

Sementara itu, bagi jurulatih Mutiara Impian, Noraffendi Taib, beliau tidak mahu kelebihan selesa empat gol menyebabkan pemain dibuai keyakinan tinggi dan hilang fokus justeru berharap pemainnya akan bermain dengan lebih tenang dan mengelak dari melakukan kesilapan mudah.

“Memang bekalan empat gol satu kelebihan besar, tetapi saya beritahu pemain jangan berasa selesa selagi baki 90 minit belum berakhir. Kita tahu SSN Melaka pastinya cuba untuk bangkit dengan kelebihan bermain di tempat sendiri, jadi kita tidak boleh ambil mudah.

“Saya percaya SSN Melaka akan turun dengan permainan menyerang bagi memburu jaringan awal jadi disiplin di pertahanan akan menjadi kunci. Kita tidak boleh gopoh, apa sekalipun kita tidak akan bermain defensif dan akan memberi tentangan sengit bagi memastikan misi ke final terlaksana,” ujar Noraffendi.

Kali terakhir Mutiara Impian atau dikenali sebagai Black Tigers beraksi di perlawanan akhir adalah pada edisi 2012 dan mereka bertekad bukan sahaja mahu mengulangi pencapaian itu, tetapi dalam masa sama mahu bergelar juara buat pertama kali.

- Advertisement -