Perak dan Felda United melangkah penuh bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia setelah menterjemahkan kebangkitan cukup sensasi dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung Ahad.

Perak bimbingan Mehmet Durakovic melayani kunjungan Pahang di Stadium Ipoh dengan ketinggalan dua gol susulan kekalahan 1-3 di Kuantan minggu lalu namun tampil mempamer antara prestasi terbaik mereka musim ini dengan melakar kemenangan 4-0 dan mara dengan agregat 5-3.

Penyerang import Gilmar Silva memulakan kebangkitan skuad The Bos Gaurus menerusi jaringan seawal minit ketiga sebelum menanduk masuk hantaran Nazrin Nawi pada minit ke-63 untuk Perak mendahului 2-0 sekaligus mengikat kedudukan agregat 3-3.

Kenny Palraj kemudiannya menjadikan kedudukan 3-0 setelah percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Wan Mohd Azraie, diikuti jaringan Nazrin Nawi yang melengkapkan kemenangan besar Perak pada masa kecederaan sekaligus membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas 10 tahun.

Di Stadium Shah Alam, nasib berbeza dialami sebuah lagi pasukan dari Perak, PKNP FC yang berputih mata gagal mempertahankan kelebihan  dua gol ke atas Felda United hasil kemenangan 3-1 di suku akhir pertama.

Begitupun PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim terlebih dahulu memecah kebuntuan seawal minit kelapan menerusi Kim Hyeon Woo seterusnya mengukuhkan kelebihan agregat kepada tiga gol.

Ia bagaimanapun tidak sedikitpun melunturkan motivasi pemain The Fighters dan mereka berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir separuh masa pertama untuk mendahului 3-1 seterusnya mengikat agregat 4-4.

Wan Zack Haikal Wan Nor menjaringkan dua gol pada minit ke-35 dan 44, manakala Ifedayo Olusegun menyumbang satu gol pada minit ke-36.

Gol kemenangan buat skuad B.Sathianathan dijaringkan Zahrahan Krangar tiga minit selepas permainan bersambung di separuh masa kedua, memastikan mereka mara dengan agregat 5-4.

Dalam aksi lain, Johor Darul Takzim yang membawa bekalan selesa hasil kemenangan 4-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat minggu lalu meneruskan kemaraan dengan agregat 5-2 setelah aksi timbal balik di Larkin berkesudahan seri 1-1.

Harimau Selatan mendahului pada minit ke-21 menerusi Nazmi Faiz Mansor manakala gol penyamaan Melaka dijaringkan menerusi penalti oleh Felipe De Souza pada minit ke-43.

Satu lagi aksi di Darul Aman, Kedah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Selangor dan mara dengan agregat 4-2. Gol tunggal Lang Merah dijaringkan Sandro Da Silva menerusi sepakan penalti pada minit ke-29.

Aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung pertengahan Oktober akan menemukan Kedah dengan Felda United manakala JDT berdepan dengan Perak. OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -