Seperti yang dijanjikan, atlet terpantas di Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menerima pemberian insentif sebanyak RM2,000 daripada Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) di atas kejayaannya meraih pingat emas dalam acara 100 meter di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengarah Urusan UFL, Dato’ Radha Krishnan berkata, “Pihak UFL memberi insentif berupa wang itu agar Khairul mendapat suntikan semangat untuk menang dan akhirnya beliau berjaya meraih pingat emas acara 100m lelaki dengan catatan masa 10.38 saat sekali gus menamatkan pe­nantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai acara itu.

“Namun, bagi acara 200m Khairul tidak berjaya kerana kecederaan Yang dihadapi beliau tetapi kami mengambil perhatian tentang isu ini dan pihak UFL membuat keputusan untuk menaja mesin kecergasan ‘Personal Power Plate Fitness’ bgi membantu dalam proses latihan dan pemulihan,” katanya ketika ditemui di sidang media di Wisma UFL, Damansara hari ini (5 September).

Turut hadir pada sidang media Majlis penajaan UFL, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang turut menerima tajaan seutas jam tangan jenama Suunto.

Sementara itu, Khairul Hafiz Jantan melahirkan rasa syukur dengan pemberian insentif berupa wang sebanyak RM2,000 dan mesin kecergasan ‘Personal Power Plate Fitness’ daripada pihak UFL.

“Pemberian insentif yang dijanjikan UFL ini sebenarnya sedikit sebanyak membantu semangat saya untuk menang dalam acara 100m dan 200m.

“Dan saya bersyukur dan berterima kasih kepada UFL kerana memberi mesin kecergasan itu bagi membantu latihan dan pemulihan pkecederaan peha saya walaupun saya tidak berjaya dalam acara 200m, tetapi untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, dalam Sukan SEA Ke-29, Khai­rul Hafiz meraih pingat emas acara 100m lelaki dengan catatan masa 10.38 saat sekali gus menamatkan pe­nantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai acara tersebut selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Muhammad di Vietnam.

Namun, Khairul Hafiz mendapat tempat keempat dalam acara 200 meter dengan catatan masa 21.28 saat ekoran kecederaan hamstring di peha kanannya. OLEH HUSNIYAH GHAZALI

- Advertisement -