9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotMalaysia kembali dalam landasan untuk mempertahankan pingat emas bolasepak 5-sebelah di Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 setelah mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Vietnam 3-0 di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Selasa.

Malaysia yang menerima tamparan berikutan kekalahan kepada Thailand dalam aksi pertama pada Isnin, tampil dengan permainan lebih baik bagi memburu kemenangan seterusnya menghidupkan peluang beraksi di final.

Ahmad Fikri Omar menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelapan sebelum ketua pasukan Amirul Arif Mahadhir menambah dua lagi gol pada minit ke-21 dan 29 untuk menghadiahkan tiga mata penting.

Malaysia bimbingan Sunny Shalesh akan mara ke final sekiranya berjaya mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Laos dalam aksi terakhir round-robin pada Rabu.

Terdahulu dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Thailand mengesahkan tempat di final setelah mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Laos 4-1.

Panyawut Kupan menjaringkan dua gol manakala Prakrong Buayai dan Kittikorn Baodee menjaringkan satu gol masing-masing untuk memastikan kemenangan buat finalis 2015 itu.

Apa kata mereka :

Sunny Shalesh (Jurulatih Malaysia) : Kami mensasarkan lima gol dari perlawanan ini dan turun mencari gol awal. Kami telah menonton video perlawanan Vietnam dan mendapati ada ruang di antara dua pemain pertahanan mereka, jadi kami meletakkan tiga pemain penyerang di hadapan untuk memberi tekanan kepada pertahanan Vietnam dan taktik ini membuahkan hasil.”

Yoichi Shimano (Jurulatih Laos) : Thailand sebuah pasukan yang terlalu kuat, sukar untuk barisan pemain saya yang kurang pengalaman menyaingi mereka. Mereka tidak yakin sepertimana ketika menewaskan Vietnam namun mereka bekerja keras. Saya percaya mereka akan bangkit semula menentang Malaysia nanti.”

- Advertisement -