Aksi pasukan Sekolah Sukan Negeri Terengganu SMK Bukit Nenas sewaktu menentang Sekolah Sukan Negeri Sembilan SMK Zaaba(jersi hijau) pada April lalu.

Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas berada dalam landasan terbaik untuk mengekalkan dominasi mereka dalam saingan Piala Remaja KPM-FAM B-17. Pasukan juara bertahan itu akan menentang bekas juara, SMK Tunku Anum (SSN Kedah) dalam aksi separuh akhir yang akan berlangsung secara timbal balik pada 15 dan 23 September, dengan separuh akhir pertama berlangsung di gelanggang Tunku Anum di Tok Jalal.

Jurulatih, Zainuddin Mohd Zain berkata keyakinan begitu tinggi di kem Bukit Nenas untuk meneruskan langkahan ke final seterusnya mengekalkan kejuaraan.

Beliau menjelaskan keyakinan itu bukan sahaja kerana percaya pada kekuatan skuad sedia ada, tetapi turut didorong oleh kejayaan barisan pemainnya muncul juara Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Kuantan pada Ogos lalu.

“Kita mempunyai barisan pemain bersemangat tinggi dan berkualiti. Mereka tekad mahu pastikan Terengganu kekal sebagai kuasa utama dalam pertandingan ini. Kita sudah muncul juara empat kali dalam tempoh lima tahun terakhir dan saya berpendapat tidak mustahil untuk kita ulanginya.

“Lagipun, seramai sembilan pemain dari sekolah ini telah membantu Terengganu mencipta kejayaan di saingan MSSM bulan lalu. Mereka adalah pemain utama kita dan saya percaya kudrat sembilan pemain ini akan memainkan peranan penting ketika menentang SSN Kedah nanti,” ujarnya.

Pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas yang menjuarai pada edisi lalu.

Untuk rekod, SMK Bukit Nenas muncul juara buat kali keempat dalam tempoh lima tahun pada musim lalu setelah menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail 4-2 menerusi dua jaringan masa tambahan oleh Hairiey Hakim Mamat dan Tuan Ahmad Mukhriz Noor Marzuki.

Tahun ini, mereka melangkah ke separuh akhir setelah muncul juara Liga Super dengan 19 mata, lima mata mengatasi SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang) hasil enam kemenangan dan satu keputusan seri manakala Tunku Anum pula layak selaku naib juara Liga Perdana dengan 17 mata.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung di Simpang Ampat, tuan rumah Mutiara Impian akan menentang SSN Melaka, SMK Seri Kota.

Mutiara Impian menyambar slot ke separuh akhir pada hari terakhir saingan liga minggu lalu setelah bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh 2-1 di gelanggang lawan.

Manakala Seri Kota pula sudahpun mengesahkan kemaraan lebih awal pada Ogos lalu selaku juara Liga Perdana dengan 19 mata.

- Advertisement -