Saingan sengit buru tempat ke separuh akhir Liga KPM

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/09/saingan-sengit-buru-tempat-ke-separuh-akhir-liga-kpm/">
Twitter
Pinterest

Selepas lebih sebulan berehat, saingan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bawah 14 tahun akan kembali bersambung Sabtu ini dengan berlangsungnya aksi terakhir Liga Super dan Liga Perdana yang akan menentukan baki tiga pasukan ke separuh akhir.

Dalam saingan Liga Super, satu slot sudah menjadi milik pendahulu, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-14 tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir.

Pasukan bimbingan Effendi Malek itu unggul meninggalkan pencabar lain dengan 25 mata dan mengesahkan tempat di separuh akhir selaku juara Liga Super.

Justeru satu lagi slot menjadi buruan antara tiga pasukan iaitu SSMP ‘A’ B-13 (21 mata), Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian (20 mata) serta Akademi Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah (18 mata).

Di atas kertas, kelebihan dilihat memihak SMK Mutiara Impian kerana aksi terakhir akan menemukan mereka dengan pasukan tangga kedua tercorot, SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang) manakala SSMP ‘A’ B-13 pula sudah tiada perlawanan untuk diharungi.

Namun bagi jurulatih Mutiara Impian, Faqhri Sobri mereka tidak memandang mudah cabaran Seberang Temerloh kerana sedar sebarang kelekaan hanya akan membuatkan mereka berputih mata.

“Kalau diikutkan prestasi semasa, mungkin ramai anggap kelebihan milik kami tetapi saya sentiasa ingatkan pemain supaya kekal fokus dan habiskan tugas mereka. Seri mungkin memadai tetapi saya tidak mahu mengambil risiko jadi matlamat kami adalah pulang dengan tiga mata.

“Tetapi saya akui tidak banyak beza di antara setiap SSN malah SSN Pahang bukan calang-calang, mereka punyai kekuatan tersendiri dan pernah menewaskan SSMP ‘A’ B-13 jadi sudah tentunya kami perlu berwaspada,” katanya.

Bagi SMK Bukit Indah pula, peluang buat mereka dilihat tipis selain perlu memburu kemenangan dengan jaringan besar ke atas Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya, mereka juga perlu mengharapkan ada kejutan berlaku di Temerloh.  

Dalam saingan Liga Perdana, ianya persaingan empat penjuru cukup dramatik antara SMK Tunku Anum (SSN Kedah), SSMP ‘B’ B-14, SMK Putera (SSN Kelantan) dan SMK Gunung Rapat (SSN Perak).

Walaupun SMK Tunku Anum sedang menerajui kedudukan dengan 20 mata, namun pasukan itu yang sudah beraksi kesemua perlawanan berpotensi menggigit jari andai SSMP ‘B’ B-14 dan SMK Putera yang mengumpul 18 mata masing-masing menang aksi terakhir.

SSMP ‘B’ B-14 dijangka tidak bermasalah untuk menewaskan pasukan tangga tercorot MSS Putrajaya manakala SMK Putera pula akan berdepan cabaran sukar SMK Gunung Rapat (17 mata). 

 

 

9 September, Jadual Liga KPM B-14 (Liga Super) :

SMK Bukit Indah (Akademi JDT) lwn SMK Presint 14 (1) Putrajaya (Akademi Felda)

SMK Za’ba (SSN N.Sembilan) lwn SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur)

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang) lwn SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang)

SMK Syed Hassan (SSN Perlis) lwn SSMP ‘A’ B-14

 

9 September, Jadual Liga KPM B-14 (Liga Perdana) :

SMK Putera (SSN Kelantan) lwn SMK Gunung Rapat (SSN Perak)

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) lwn SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor)

SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah) lwn SMK Kem Terendak (Akademi ATM)

SMK Seri Kota (SSN Melaka) lwn SSMP ‘B’ B-13

MSS Putrajaya lwn SSMP ‘B’ B-14

Please follow and like us:
0