Dengan baki dua peringkat perlumbaan bagi Jelajah Malaysia edisi ke 53, saingan semakin memuncak dimana tiga jersi, Kuning (pendahulu keseluruhan), Polka Dot (Raja Bukit) dan Hijau (Raja Pecut) masih menjadi rebutan.

Manakala jersi kelabu (pelumba muda terbaik) dan Merah (pelumba terbaik Malaysia) sudah boleh dikatakan hampir pasti menjadi milik Ryan Thomas dan Muhammad Zawawi Azman, namun segalanya bergantung kepada keputusan peringkat keempat.

Bagi wakil Malaysia, tumpuan akan terarah kepada pelumba bertubuh kecil dari Terengganu, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki atau panggilan manjanya ‘Baan’ yang masih gah mempertahankan jersi Hijau selepas tamat tiga peringkat  perlumbaan.

Amirul mengumpul 41 mata, dibezakan dengan 16 mata dengan pencabar terdekat daripada Brendon Davids manakala rakansepasukan, Ryan Thomas mengumpul 24 mata.

Tidak mahu terlalu mengambil mudah dengan kedudukan mata ketika ini, Amirul mahu memberi tumpuan terhadap perlumbaan esok dan membuat perancangan dengan jurulatihnya, Jeremy Hunt.

“Apapun kita akan cuba pertahankan jersi ini dahulu dan tidak akan biarkan ia terlepas begitu sahaja. Untuk esok kita akan tengok keadaan dan jika ada peluang, saya akan cuba kumpul mata.

“Untuk peringkat terakhir (Sabtu) kita akan cuba tumpukan untuk kemenangan peringkat sebab TSG ada pakar pecut untyuk membantu, jika penamat berakhir dengan kelompok besar, peluang untuk menang akan hadir,”kata Amirul.

Bagi Jeremy Hunt persaingan diantara Nur Amirul, Ryan Thomas dan Brendon Davids tidak begitu memberi tekanan ketika ini, namun pengendali kelahiran Australia itu berpendapat pasukannya masih perlu berhati hati.

“Apa yang penting untuk Amirul ketika ini adalah mengutip mata di setiap perlumbaan dan dia telah lakukannya pada hari ini dan menamatkan perlumbaan di tangga keempat untuk meriah mata bonus.

“Kami perlu berbincang dahulu untuk melihat pergerakan perlumbaan peringkat keempat esok sebelum memutuskan apa yang perlu dilakukan oleh Amirul,”Kata Jeremy Hunt.

Pencabar terdekat, Ryan Thomas juga tidak menolak untuk mencuba nasib dalam mencabar jersi Hijau Jelajah Malaysia 2017.

Ryan ‘tewas’ kepada Nur Amirul ketika saingan menuju penamat peringkat pertama dari Shah Alam ke hutan Melintang, Perak Selasa lalu.

“Saya tahu perebutan untyuk jersi hijau tidak begitu jauh, tetapi tumpuan utama kami adalah untuk mempertahankan jersi Kuning ketika ini dan Merah, namun ia bukan tugas mudah.

“Tidak mustahil untuk saya mencuba tetapi kami perlu memberi tumpuan terhadap perlumbaan esok dan kita lihat, jika ada peluang, saya akan cuba melakukannya,”Kata Ryan Thomas.

- Advertisement -