Tumpuan utama saingan minggu ketiga Sepaktakraw League (STL) Premier yang menutup tirai pada Ahad lalu di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya terarah kepada kejayaan Terengganu Turtles menjelmakan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Perak Bison 2-1.

Ia menyaksikan regu bimbingan Rosmadi Abdul Ghani mengekalkan momentum kemenangan setelah mudah menewaskan Kuala Lumpur Thunder sehari sebelumnya.

Begitupun, ia tidak memadai untuk pasukan dari pantai timur itu untuk terus merajai carta liga sebaliknya juara bertahan Penang Black Panthers merampas semula kedudukan pendahulu berikutan dua kemenangan ke atas ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder.

Dua pasukan itu terus unggul bersaing di kedudukan teratas dengan mengumpul 10 mata hasil lima kemenangan dari enam perlawanan.

Dalam pada itu, dua kekalahan dialami Kuala Lumpur Thunder menyaksikan mereka tergelincir ke tangga keenam carta liga.

Regu bimbingan Azhar Sarabini itu pada awalnya disebut mampu mengugat penguasaan dua pasukan pendahulu setelah cemerlang pada minggu terdahulu namun gagal menepati ekpetasi tersebut apabila tewas mudah dalam kedua-dua perlawanan. 

Selain itu, nasib berbeza dialami tiga pasukan – Kelantan Warriors, Selangor Pistons dan Johor Tigris. Kelantan Warriors yang tewas kedua-dua aksi minggu sebelumnya bangkit melakar dua kemenangan yang membolehkan mereka melonjak dari tangga ketujuh ke tangga keempat.

Pasukan bimbingan Faqimi Idris itu memulakan kebangkitan dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 sebelum menutup tirai dengan menundukkan Johor Tigris juga dengan keputusan 2-0. Mereka mempertaruhkan kelibat Hisyam Mat-Aiman Azwawi-Naim Izani Noor di kedua-dua perlawanan.

Bagi Johor Tigris, ia adalah satu lagi minggu yang mahu dilupakan setelah turut kecundang kepada Perak Bison sekaligus mengalami kekalahan kelima berturut-turut dan kekal menghuni kedudukan tercorot.

Selangor Pistons turut mengharungi minggu yang kurang menjadi setelah tewas kedua-dua perlawanan. Selain Kelantan Warriors, mereka juga kecundang kepada ATM Guardians pada aksi terakhir minggu ketiga.

Selain kerancakkan aksi di dalam gelanggang, kecederaan beberapa pemain utama antaranya Fadzli Roslan (Terengganu Turtles), Zamree Dahan (Johor Tigris) dan Amirul Ramdhan Suhaimi (Perak Bison) antara yang turut menjadi perhatian.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -