Pengendali skuad hoki wanita negara Dharma Raj Abdullah tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada barisan pemainnya yang akan beraksi di kejohanan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun dari 28 Oktober – 5 November depan.

Malaysia tiada pilihan selain menjuarai Piala Asia untuk layak beraksi di Piala Dunia 2018 namun Dharma Raj berkata dengan ‘kekuatan yang hilang’ mereka perlu berpijak di bumi nyata.

“Kalau tanya saya, memang saya akan kata kita mahu pergi untuk muncul juara, siapa yang tidak mengidam beraksi di Piala Dunia. Secara matematik peluang kita ada tapi dengan kekuatan kita ada, kita perlu realistik. Realitinya kita tiada sebuah pasukan yang mantap seperti Korea atau China.

“Kita telah sedia kehilangan Noor Hasliza (Ali) dan Fazilla (Sylvester) dan pasukan kita kurang pemain berkualiti terutamanya di barisan serangan. Sejak dari Liga Hoki Dunia Pusingan 3 dan kemudian Sukan SEA kita banyak cipta peluang namun gagal jaringkan gol.

“Itu juga satu sebab kenapa saya senaraikan ramai pemain penyerang dalam skuad kali ini,” kata Dharma selepas mengumumkan senarai 18 pemain bagi membawa cabaran di Piala Asia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis. 

Tiada kejutan disaksikan dalam senarai tersebut di mana seperti dijangka Siti Shahida Saad yang baru kembali dari persaraan menggantikan tempat Noor Hasliza yang sedang hamil manakala tempat Fazilla digantikan penyerang muda berusia 16 tahun, Nur Maizatulhanim Shafi Sheikh Fuad.

Ditanya mengenai keberaniannya menyenaraikan pemain muda bagi menggalas cabaran di kejohanan besar ini, Dharma berkata, “Bagi saya, kalau kita pergi bertanding hari ini dan kita gagal, pasukan masa depan juga akan gagal jika saya tidak bawa dan beri pendedahan kepada pemain muda, walaupun hanya seorang.

“Kalau tidak dapat juarai Piala Asia, sekurang-kurangnya saya mahu mahu pasukan ini jadi lebih kuat dan ada pemain berkualiti. Saya tidak mahu bergantung kepada pemain yang berikan kegagalan. Saya nak pemain tahu, jika mereka gagal menyerlah, mereka akan digugurkan.”

Malaysia Tigress yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai Piala Asia dengan menentang China pada 28 Oktober, disusuli Singapura (29 Oktober) dan India pada 31 Oktober.

 “Kalau kita berjaya tewaskan India dan menduduki tempat kedua, peluang tinggi untuk lawan Thailand kerana mereka hampir pasti nombor tiga Kumpulan B. Mereka jauh lebih kuat dari Kazakhstan, jadi kalau kita jumpa Thailand peluang kita ke separuh adalah cerah.

“Saya percaya China, Jepun, India mahupun Korea yang sudahpun layak ke Piala Dunia anggap kita sebagai pasukan budak-budak jadi ini adalah peluang terbaik bagi semua pemain membuktikan dan memberi mesej kepada pasukan lain bahawa Malaysia sudah bangkit,” ujar Dharma lagi.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -