Walaupun bertandang ke Stadium Darul Aman bagi mengharungi aksi getir separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kedah tanpa sebarang kelebihan jaringan, keyakinan tetap tinggi di kem Felda United betapa mereka boleh mendapatkan keputusan positif dan meneruskan kemaraan ke final.

Felda United memastikan mereka kekal dalam persaingan setelah meraih jaringan penyamaan lewat permainan menerusi Hadin Azman ketika aksi separuh akhir pertama di Jengka pada Ahad lalu yang berkesudahan seri 1-1 sekaligus menyaksikan Kedah membawa pulang bekalan gol di tempat lawan.

Bagi tonggak tengah Felda, Zahrahan Krangar, itu bukanlah satu masalah besar buat The Fighters kerana menurutnya mereka berpengalaman berdepan situasi seperti ini sebelum ini dan semua rakan sepasukan begitu komited mahu memastikan pasukan itu layak ke final buat pertama kali.

“Kedah sebuah pasukan yang bagus, mereka adalah juara bertahan, kami menghormati mereka. Tetapi jika mereka boleh menjaringkan satu gol di tempat kami, kenapa tidak boleh kami lakukan perkara sama di gelanggang mereka? Lagipun kami pernah tewaskan mereka di sana (Alor Star) sebelum ini. Jadi sudah tentunya kami juga ada kelebihan.

“Sasaran kami adalah melangkah ke final dan muncul juara, jadi kami akan bermain seperti seorang pejuang sama seperti kami lakukan ketika tewaskan PKNP. Kami mahu capai sesuatu untuk pasukan musim ini biarpun tidak diletakkan harapan tinggi,” ujar pemain dari Liberia itu.

Dalam pada itu, pengendali pasukan B.Sathianathan pula lega kerana kesemua pemainnya bebas kecederaan dan penggantungan perlawanan justeru dapat membariskan pasukan terkuat pada Ahad nanti pada ketika situasi berbeza menimpa Kedah yang kehilangan khidmat Khairul Helmi Johari dan Liridon Krasniqi.

“Kami dalam tahap terbaik tetapi apa yang lebih penting adalah mentaliti pemain. Mereka perlu elak rasa tertekan dan bermain seperti biasa. Saya percaya ia perlawanan yang cukup sukar tapi bukanlah satu misi mustahil untuk tewaskan Kedah jika kami dapat serlahkan kualiti sebenar.

“Tentang Kedah, saya tidak rasa mereka tempang tanpa Khairul Helmi dan Liridon. Memang dua orang itu pemain tonggak mereka tetapi mereka punyai ramai pemain yang bagus untuk isi kekosongan tersebut terutamanya pemain-pemain muda. Jadi bagi saya tidak banyak beza dari segi kekuatan,” ujar Sathianathan.

Untuk mencipta sejarah layak ke final, Felda United perlu mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya keputusan seri lebih dari satu gol. Mereka juga akan tersingkir andai perlawanan di Darul Aman berkesudahan seri tanpa jaringan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -