Felda United dan Perak gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung pada Ahad sekaligus terlepas peluang membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pemain gantian Hadin Azman muncul penyelamat The Fighters apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 untuk mengikat juara bertahan Kedah 1-1.

Kedah sebelum itu mendahului pada minit ke-61 menerusi Sandro Mendonca yang menyempurnakan sepakan penalti dihadiahkan pengadil setelah pemain kebangsaan Syazwan Zainon dikasari Safwan Hashim di dalam kotak penalti.  

Ketika Lang Merah sudah berkira-kira untuk membawa pulang bekalan satu gol ke Alor Star, Hadin yang menggantikan Ifedayo Olusegun menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Wan Zack Haikal Wan Nor tiga minit sebelum tamat permainan untuk memastikan skuad kendalian B.Sathianathan itu kekal dalam persaingan.  

Sementara itu di Stadium Ipoh, dua kesilapan berprofil tinggi oleh pemain pertahanan menyaksikan Perak dan juara Liga Super, Johor Darul Takzim turut mencatat keputusan seri 1-1.

Skuad The Bos Gaurus yang beraksi pertama kali di separuh akhir selepas sedekad tampil dengan aksi meyakinkan biarpun dengan ketiadaan dua tonggak import – Yasher Pinto dan Leandro Santos.

Mereka berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-18 setelah pertahanan JDT, Hasbullah Abu Bakar tertampan bola hantaran Gilmar Da Silva ke gawang sendiri dan gagal diselamatkan Izham Tarmizi Roslan. Kedudukan kekal 1-0 sehingga berakhir separuh masa pertama.

Penyerang sensasi Harimau Selatan, Mohamed Ghaddar bagaimanapun memastikan igauan buruk pasukannya di Ipoh tidak berulang apabila menghukum kesilapan ketua pasukan Perak, Shahrom Kalam yang ‘miskick’ bola di kawasan bahaya.

Penyerang dari Lubnan itu pantas merampas bola dan tenang melakukan larian solo sebelum merembat masuk menewaskan penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam pada minit ke-66.

Aksi timbal balik akan berlangsung pada 21 Oktober depan. – OLEH MUHAMMADD AIMAN 

- Advertisement -