Setelah kehilangan khidmat Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Fauzi sebelum ini kerana kecederaan, skuad kebangsaan mungkin terpaksa melupakan satu-satunya penyerang yang masih tinggal Darren Lok apabila turun menentang Hong Kong dalam saingan Kumpulan B kelayakan Piala Asia pada Selasa.

Ketua jurulatih, Nelo Vingada berkata , “Darren mengalami kecederaan ringan di pangkal paha yang menyukarkan sedikit pergerakannya terutama ketika mahu membuat percubaan atau larian.

“Mungkin kita akan bermain strategi berbeza tanpa penyerang tulen dengan mengharapkan Safiq (Rahim) atau Baddrol (Bakhtiar) untuk menyerang dari tengah.

“Namun ianya masih awal untuk ditentukan di mana kita masih mempunyai masa sehari lagi, saya akan memantau keadaan Darren dan berharap akan ada perkembangan positif. Jika tidak, saya memang tiada pilihan lain.”

Ketiadaan Darren untuk aksi ‘wajib menang’ menentang Hong Kong boleh dianggap sebagai malapetaka buat kem kebangsaan yang sememangnya sudah sedia bergelut dengan masalah ketumpulan sentuhan penyudah.

Harimau Malaya hanya mampu menjaringkan tiga gol sahaja dalam lima perlawanan terakhir sepanjang tahun ini sekaligus memberi bayangan betapa tugas cukup sukar menanti Vingada untuk menggapai kemenangan pertama bagi tahun 2017.

Begitupun, dikenali sebagai the professor, Vingada tidak boleh mengeluh sebaliknya perlu bijak menggunakan khidmat pemain ‘offensive’ yang ada di dalam pasukan untuk memburu jaringan.

Selain Safiq dan Baddrol sepertimana disebut oleh pengendali dari Portugal itu, pasukan negara turut mempunyai kelibat tiga pemain sayap – Safawi Rashid, Syazwan Zainon dan Wan Zack Haikal Wan Nor – untuk dipertaruhkan.

Persoalan kini taktikal dan formasi apakah yang bakal digunakan Vingada untuk memanfaatkan semaksima mungkin kelebihan pemain-pemain ini yang sememangnya diketahui berkeupayaan menjaringkan gol.

Kekalahan pastinya sukar untuk diterima namun jika ia berlaku peminat bolasepak tanah air sudah muak untuk disajikan dengan alasan ‘kita tewas kerana tiada penyerang’ atau ‘kita tewas kerana gagal sempurnakan peluang’.

Masalah ini sudahpun dikenalpasti sebelum perlawanan bermula justeru kini apa yang mahu dilihat adalah solusi yang diambil Vingada untuk merubah keadaan.

Setelah tewas dan seri sekali, hanya kemenangan ke atas Hong Kong dapat membantu pasukan negara yang ketika ini berada di kedudukan tercorot dengan satu mata untuk menghidupkan peluang layak beraksi di pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu pada 2019. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -