Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mmberi jaminan Litar Antarabangsa Sepang (SIC ) tidak akan suram atau kosong tanpa sebarang aktiviti meskipun ketiadaan perlumbaan Formula One (F1) bermula tahun depan.

Beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke litar untuk menyaksikan sendiri perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia edisi terakhir hari ini.

“Saya datang untuk menonton final perlumbaan F1 yang diadakan di Litar Sepang dengan diruntun perasaan sentimental, kita telah menganjurkan acara ini selama 19 tahun.

“Kita telah menyaksikan acara hebat dan mengujakan ini selama 19 tahun. Kita telah berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia dengan penganjuran perlumbaan F1. Saya tahu Petronas telah berjaya memahatkan penglibatannya dalam F1, dan juga jenamanya sebagai syarikat minyak negara dan multinasional,” katanya ketika sidang media di Pusat Media SIC.

Beliau mengumumkan Malaysia pada 7 April lalu, 2017 menjadi perlumbaan F1 terakhir di Malaysia selepas bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjurannya susulan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding dengan kos penganjurannya.

Namun, Datuk Seri Najib tidak menolak perlumbaan ini akan kembali ke Malaysia , bergantung kepada kedudukan ekonomi negara.

Malah, pihaknya dan promoter SIC sedang merangka perancangan untuk menyusun dan mencari acara lain untuk diadakan di Litar Sepang.

- Advertisement -