Picture by Hockey Asia

Jaringan Faizal Saari dipenghujung perlawanan memastikan skuad hoki negara melangkah ke perlawanan final dalam saingan kumpulan ‘Super Fours’ di Stadium Kebangsaan Maulana Bhashani di Dhaka lewat malam tadi.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen mengikat Korea Selatan dalam perlawanan akhir sekaligus mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas menduduki tangga kedua dalam kumpulan ‘Super Fours’ dibelakang India.

Jaringan Faizal Saari seminit sebelum tamat masa perlawanan menerusi pukulan sudut penalti cukup bermakna buat Stephen Van Huizen untuk menyamakan kedudukan selepas Yang Jihun meletakkan Korea Selatan didepan pada minit ke 24.

“Kami hanya memerlukan keputusan seri untuk ke final. Walaupun mereka (Korea Selatan) mendahului, kami perlu kekalkan displin dan bermain mengikut perancangan.

“4 minit terakhir, kami perlu mengambil risiko untuk meletakkan pemain tambahan di padang dan pukulan sudut penalti yang disudahkan Faizal adalah tuah untuk kami ditambah tekanan dipenghujung perlawanan,”kata Van Huizen.

Tambah Van Huizen lagi, pemain pemain memerlukan rehat seketika selepas perlawanan getir lewat malam tadi sebelum turun berdepan India esok.

“Saya bangga dengan pemain pemain muda yang beraksi di tahap ini; Asri Joel, Syed Aideed Najmi. Nabil memberikan aksi lebih dari 100 peratus dan kepimpinan yang baik daripada Sukri, Razie, Nabil dan Tengku,”katanya lagi.

Korea Selatan terpaksa melupakan hasrat ke Piala Dunia 2018 di India apabila hanya mampu memburu tempat ketiga kejohanan dengan menentang Pakistan esok.

Hanya juara kejohanan benua ini akan layak ke Piala Dunia 2018.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan ini ialah tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.

Terdahulu India mengesahkan slot ke final selepas menundukkan Pakistan 4-0.OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -