JOHOR BAHRU, 29 Okt — Pemain Malaysia Mohamad Anuar mengasak ke arah penjaga gol India, Pankaj Rajak
pada penentuan tempat ketiga dan ke empat Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2017 di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru hari ini.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

 

Pasukan India menutup saingan edisi ketujuh Piala Sultan Johor (SOJC) selaku pemenang tempat ketiga selepas menewaskan Malaysia 4-0 di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru.

Juara remaja dunia dan juara SOJC dua kali melakar kemenangan kedua ke atas pasukan tuan rumah selepas menang dalam saingan pusingan awal.

Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat sekali gus memperbaiki pencapaian yang dilakar tahun lalu di kedudukan kelima.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada 2011 dan naib juara pada 2014.

“Saya fikir mereka bermain dengan prestasi terbaik mereka. Saya tahu mereka ada kemampuan untuk melakukannya dan mereka buktikan.

“Ia bukan mudah untuk menewaskan Malaysia di tempat mereka sendiri. Tiada pasukan yang mampu memenangi perlawanan dengan keputusan 4-0 dan saya fikir ia sesuatu yang positif untuk pasukan saya,” ,” kata ketua jurulatih India, Jude Felix Sebastian yang terus pulang ke negaranya selepas tamat perlawanan susulan ibunya kini dalam keadaan kritikal di hospital.

Kapten India, Vivek Prasad membuka tirai jaringan minit ke-11 sebelum Vishal Antil mengukuhkan kedudukan dengan meledak gol kedua empat minit kemudian.

Shailanand Lakra menambah derita Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga buat India minit ke-21 sebelum Vishal meledak gol peribadi kedua empat minit kemudian. Ia adalah gol keempat Vishal dalam kejohanan ini.

Benteng pertahanan Malaysia yang diketuai penjaga gol, Muhammad Zaimi Mat Deris beraksi di bawah tekanan pada separuh masa pertama apabila India yang masih terluka gagal ke final melancarkan serangan bertali arus bagi memburu gol.

Malaysia mempunyai dua peluang untuk merapatkan jurang menerusi gerakan daripada pukulan sudut penalti pada minit akhir suku kedua yang menyaksikan tampanan kapten, Nik Muhammad Aiman Nik Rosemi melambung tinggi.

Muhammad Akhimullah Anuar Esook pula selepas itu terpaksa akur apabila percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol India, Senthamizh Shankar.

Memasuki suku ketiga, India kekal mendominasi perlawanan. Walaupun Malaysia meraih dua pukulan sudut penalti serta peluang daripada permainan terbuka tetapi gagal menyudahkannya.

Ketua jurulatih Malaysia, Wallace Tan menyifatkan dua gol awal India di separuh masa pertama membuatkan anak buahnya sukar untuk kembali bangkit.

“Mereka menjaringkan dua gol di separuh masa pertama tetapi kami cuba kembali bangkit di separuh masa kedua namun terlepas peluang yang dimiliki. Secara keseluruhannya, ia adalah proses pembelajaran untuk pemain yang masih muda dan saya yakin mereka akan terus meningkat dengan pendedahan dalam kejohanan ini,” katanya.OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -