Felda United telah menunjukkan peningkatan yang cukup hebat dalam tempoh empat musim yang terakhir dalam saingan Liga Malaysia.

Suntikan kewangan membantu pasukan itu merubah nasib sendiri dari pasukan sederhana sehinggalah menjadi pencabar kejuaraan dan layak beraksi di Piala AFC musim ini namun hakikat yang tidak boleh dipandang sepi adalah mereka tidak pernah menjulang sebarang trofi dalam tempoh kebangkitan tersebut. 

Naib juara Piala FA dan Liga Premier pada 2014, semifinalis Piala Malaysia 2015 dan naib juara Liga Super 2016 kekal sebagai pencapaian terbaik mereka justeru ketua pasukan, Zah Rahan Krangar berpendapat musim 2017 adalah peluang terbaik pasukan The Fighters menamatkan kemarau itu.

“Ini adalah tahun yang cukup sempurna buat kami. Saya telah bersama pasukan ini sejak bermula era kebangkitan mereka dan telah merasai kegagalan di final, di separuh akhir dan dalam saingan liga dalam tempoh itu. Saya telah mengenggam tiga pingat naib juara, sebagai pemain professional saya mahu genggam kejuaraan.

“Apa yang boleh saya kata, pasukan ini semakin kuat dan bertambah matang dari hari ke hari dan saya percaya kami punyai segala rencah untuk akhirnya menjulang trofi pertama,” ujar pemain berusia 32 tahun dari Liberia itu.

Keyakinan Zah Rahan disuarakannya pada ketika Felda United bimbingan B.Sathianathan sedang dalam persiapan melayan kunjungan juara bertahan, Kedah dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Ahad.

“Kedah adalah sebuah pasukan mantap tapi kami tidak perlu gentar. Kami telah tewaskan Kedah sebelum ini, malah kami juga pernah tewaskan Johor Darul Takzim. Jadi saya boleh katakan kami sudah bersedia, saya mahu bantu pasukan dapatkan bekalan selesa di perlawanan pertama ini,” tambah Zah Rahan yang telahpun membuat lebih dari 70 penampilan sejak 2014. 

Untuk rekod, Felda mara ke separuh akhir setelah bangkit bergaya untuk menyingkirkan PKNP FC dengan agregat 5-4 di suku akhir manakala Kedah pula mara setelah membenam cabaran juara 33 kali Selangor dengan agregat 4-2.

Aksi antara kedua-dua pasukan juga merupakan ulangan separuh akhir 2015 di mana ketika itu Kedah mengecewakan Felda dengan agregat 4-3 untuk melangkah ke final. OLEH MUHD AIMAN 

 

 

- Advertisement -