Secara tidak rasminya, anugerah kasut emas penjaring terbanyak Liga Super sudahpun menjadi milik penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Mohamed Ghaddar.

Dengan 23 gol, pemain dari Lubnan itu sudah jauh meninggalkan pencabar terdekatnya Matheus Alves dari Pahang yang mengumpul 18 gol serta penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen (15 gol).

Kejayaan Ghaddar juga akan menyaksikan anugerah kasut emas menjadi milik pemain harimau selatan buat musim kedua berturut-turut setelah Jorge Pereyra Diaz melakukannya pada tahun lalu dengan meledak 18 gol. 

Namun menuju ke aksi terakhir Liga Super malam ini, Ghaddar yang memulakan musim 2017 dengan mewakili Kelantan mempunyai misi lain untuk dilaksanakan iaitu mencipta rekod jaringan semusim yang baru.

Ketika ini, Ghaddar berkongsi jumlah jaringan sama dengan bekas penyerang sensasi Kedah, Marlon Alex James yang turut menjaringkan 23 gol pada musim 2008 ketika Kedah menjulang gelaran double-treble justeru hanya satu jaringan diperlukan untuk Ghaddar menjadi pemegang rekod baru.

Meskipun sentuhan jaringannya tidak sehebat ketika bersama Kelantan di mana dia menjaringkan 18 gol sebelum berpindah ke JDT pada pertengahan musim, peluang tetap tersedia buat Ghaddar untuk melakukannya.  

JDT bimbingan Ulises Morais yang sudahpun mendakap trofi Liga Super buat musim keempat berturut-turut akan turun tanpa tekanan menentang pasukan tangga keempat, Kedah di Stadium Darul Aman – perlawanan yang boleh turut dianggap sebagai pra-final Piala Malaysia.

Ironinya, Darul Aman bukanlah gelanggang asing buat Ghaddar untuk menjaringkan gol – pada 2012 dia meledak salah satu gol dalam kemenangan 3-0 Kelantan ke atas Kedah dan turut menjaringkan gol ketika Kelantan bangkit mengikat Kedah 2-2 dalam aksi separuh akhir Piala FA tahun yang sama.

Mampukah Ghaddar mengulangi sentuhan yang sama dan mengakhiri sensasi diciptanya tahun ini dengan satu rekod baru, bakal terjawab malam nanti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -