Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil keputusan berani menyenaraikan seramai 17 atlet untuk membawa cabaran di Sukan Komanwel Gold Coast, Autralia tahun depan.

Ketua jurulatih, Zainal Abas berkata bahawa semua atlet yang meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berada di dalam senarai itu selain beberapa atlet yang berpotensi untuk diketengahkan.

Namun Zainal menegaskan keputusan sama ada mereka terpilih atau tidak hanya akan diputuskan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Jawatankuasa Pemilihan sudah membuat penilaian dan menyenaraikan nama-nama yang layak. Kini, kita tunggu keputusan MOM dan menunggu bajet yang akan diberi untuk merangka program latihan buat mereka,” kata Zainal.

Untuk rekod, skuad olahraga negara tampil cemerlang di KL 2017 apabila meraih lapan pingat emas sekaligus memperbaiki pencapaian tiga emas di temasya Singapura 2015.

Atlet-atlet yang meraih emas adalah Irfan Shamsudin (lempar cakera), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar), Elena Goh (jalan kaki) dan paling mencuri tumpuan Khairul Hafiz Jantan yang dinobatkan selaku raja pecut Asia Tenggara dengan memenangi emas 100m.

Manakala Jackie Wong dan Grace Wong (baling tukul besi) serta Hakimi Ismail (lompat kijang) turut meraih emas dengan memperbaharui rekod kejohanan.

KOM juga pastinya berharap dengan mempertaruhkan atlet-atlet ini, mereka akan dapat memperbaiki pencapaian pulang tanpa sebarang pingat emas ketika Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Sementara itu, jurulatih pecut negara, Md Poad Md Kassim tekad mahu mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai atlet pecut bagi menjadi pesaing kepada Khairul Hafiz yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dalam dua acara 100m dan 200m.

Bagi menjayakan hasrat itu, Program Merlimau Speed Demons (sekolah angkat olahraga) telahpun diperkenalkan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Serkam Darat menjadi sekolah perintis.

“Dalam fasa pertama seramai 100 pelajar telah dipilih menyertainya. Sekarang ia sudah masuk fasa kedua di mana kita akan kecilkan jumlah itu kepada 50 pelajar di bawah kendalian pegawai satelit Johor,” kata Mohd Poad yang turut menjelaskan bahawa saiz fizikal serta kepantasan kaki adalah antara aspek yang ditekankan.

Md Poad berharap program-program seperti ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya seterusnya menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain. OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -