Dua kemenangan dalam aksi minggu pembukaan sudah cukup untuk mencerminkan akan keinginan besar Penang Black Panthers untuk meneruskan penguasaan mereka dalam Divisyen Perdana Sepaktakraw League (STL) yang memasuki musim keempat.

STL musim baru yang membuka tirai pada 29 September lalu di Stadium MPSJ, Serdang Jaya menyaksikan pasukan juara bertahan itu unggul dengan empat mata hasil dari dua kemenangan ke atas pendatang baru Perak Bison yang juga juara Divisyen Satu serta Johor Tigris.

Untuk rekod, Penang Black Panthers muncul juara edisi 2016 dengan menewaskan Kuala Lumpur Thunder pada perlawanan akhir dan mereka tampak berkeyakinan tinggi mahu mengulangi kejayaan itu sekali lagi.

Diperkuatkan tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, Black Panthers membuka kempen mereka musim ini dengan kemenangan 2-1 (20-22, 21-4, 21-12) ke atas Perak Bison dan kemudiannya mengekalkan momentum kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris juga dengan keputusan 2-1 (23-21, 17-21, 21-12).   

Pasukan bimbingan Helmi Ismail itu juga adalah satu-satunya pasukan mencatat dua kemenangan pada minggu pembukaan dan mereka akan meneruskan cabaran pada minggu kedua dengan berdepan Kelantan Warriors pada  Jumaat dan Terengganu Turtles pada Sabtu ini.

Sementara itu finalis musim lalu, Kuala Lumpur Thunder pula akan turun dengan misi memburu kemenangan pertama setelah tewas kedua-dua perlawanan pembukaan.

Selain tewas kepada Black Panthers, pasukan itu turut kecundang kepada Kelantan Warriors sekaligus menjadi satu-satunya pasukan belum mencatat sebarang kemenangan. Mereka akan berdepan Selangor Pistons pada Sabtu diikuti Johor Tigris pada Ahad.

Turut menjadi tumpuan sudah tentunya Terengganu Turtles yang merupakan satu daripada pasukan pilihan – Terengganu yang tidak tewas dalam 11 perlawanan liga musim lalu mengalami nasib berbeza kali ini apabila tewas seawal perlawanan kedua kepada Selangor Pistons walaupun membuka tirai dengan langkah kanan menewaskan ATM Guardians.

Untuk rekod, STL tahun ini turut menampilkan sedikit kelainan di mana lima pasukan terbaik Divisyen Perdana akan berentap bersama-sama tiga pasukan jemputan antarabangsa iaitu Thailand, Korea Selatan dan Indonesia dalam saingan Piala Juara-Juara STL yang diperkenalkan pertama kali. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Jadual aksi minggu kedua :

6 Oktober (Jumaat) : Penang Black Panthers lwn Kelantan Warriors (8 mlm), Johor Tigris lwn Terengganu Turtles (9.30 mlm)

7 Oktober (Sabtu) : Perak Bison lwn ATM Guardians (5 ptg), Selangor Pistons lwn Kuala Lumpur Thunder (6 ptg), Terengganu Turtles lwn Penang Black Panthers (8 mlm)

8 Oktober (Ahad) : Kelantan Warriors lwn ATM Guardians (5 ptg), Kuala Lumpur Thunder lwn Johor Tigris (6 ptg), Perak Bison lwn Selangor Pistons (8 mlm)

- Advertisement -