Jangankan kemenangan, untuk bawa pulang keputusan seri dari Stadium Larkin juga boleh dianggap sebagai satu misi yang sukar.

Justeru berapa ramai yang percaya sebuah pasukan kecil seperti Perak boleh melakukannya apabila berdepan JDT di gelanggang keramat mereka dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Ahad ini?

Statistik jelas tidak menyebelahi Perak bimbingan Mehmet Durakovic untuk cuba mengintai kejutan namun statistik yang sama menunjukkan kali terakhir skuad harimau selatan tewas di gelanggang sendiri adalah dalam saingan Piala Malaysia.

Felda menjadi pasukan terakhir untuk menghadiahkan mimpi ngeri di Larkin buat JDT dua tahun lalu apabila jaringan Thiago Augusto dan Zahrahan Krangar menyaksikan mereka melakar kemenangan sensasi 2-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.

Mampukah Perak mengulangi apa yang pernah dilakukan Felda dan melangkah ke final pertama selepas sepuluh tahun? Mereka akan mara jika menang ataupun seri lebih dari satu gol.

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu bertandang ke Larkin sekali lagi tempang tanpa lima tonggak utama – tiga mengalami kecederaan iaitu Hafiz Kamal, Leandro Santos dan Yasher Pinto manakala dua lagi pemain Nazrin Nazwi dan Jasazrin Jamaludin disekat peluang mereka menerusi ‘gentleman agreement’ yang tidaklah begitu jantan.

Ketika di Ipoh tempoh hari, tanpa lima tonggak ini Perak masih mampu mengimbangi permainan dan memberi tentangan, mendahului perlawanan sehinggalah dikecewakan oleh kesilapan Shahrom Kalam. Hanya selepas melepaskan gol penyamaan kepada Mohamed Ghaddar, segalanya tampak serba-serbi pincang buat Perak.

Justeru, kredibiliti The Bos Gaurus yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak tujuh kali dengan yang terakhir pada tahun 2000 (17 tahun lalu) tidak boleh diketepikan begitu sahaja walaupun Durakovic sendiri seolah tidak mahu meletak harapan tinggi.

“Kami tidak mempunyai skuad yang besar, siapa yang ada merekalah akan dipertaruhkan. Apatah lagi tanpa dua import dan bermain di Larkin, ia bukan mudah. Mereka ada kelebihan dari segi mental dan psikologi walaupun dari segi semangat juang semua adalah setara.

“Apa yang boleh kami harapkan adalah buat yang terbaik, jika tersingkir sekalipun kami boleh gembira kerana telah berikan segala yang kami mampu,” ujar jurulatih yang membawa Selangor memenangi Piala Malaysia buat kali ke-33 pada 2015 itu.

Dalam pada itu, Perak juga boleh menghela nafas lega untuk tidak kehilangan seorang lagi tonggak import berpengaruh, Thiago Aquino Junior yang mengalami pendarahan teruk di hidung dan terpaksa membalut mukanya sendiri bagi meneruskan perlawanan separuh akhir pertama tempoh hari.

KhidmatThiago yang merupakan jantung pertahanan amatlah diperlukan Perak bagi menyekat gandingan tiga serangkai di barisan depan JDT – Ghaddar, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -