Impian besar Perak untuk memburu tiket final Piala Malaysia pertama selepas 10 tahun menerima tamparan hebat apabila bakal turun menentang Johor Darul Takzim dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Ipoh malam ini tanpa kekuatan penuh.

Setelah kehilangan khidmat Hafiz Kamal dan penyerang dari Palestin, Yashir Pinto, skuad The Bos Gaurus itu kehilangan pula khidmat pemain tonggak tengah Leandro Santos kerana kecederaan sekaligus menyaksikan mereka cuma mempunyai dua pemain import untuk diturunkan iaitu Gilmar Filho Da Silva dan Thiago Aquino.

Seolah pasrah dengan situasi yang melanda kem pasukannya, jurulatih, Mehmet Durakovic berkata, “Ianya perlawanan besar dan perlawanan terakhir di gelanggang sendiri bagi musim ini. Kita mahu akhiri dengan cemerlang tapi saya perlu akui kita berdepan tugas sukar.

“JDT adalah pasukan terbaik dalam negara dan kelas mereka adalah berbeza, jadi kita perlu realistik kerana tanpa dua import kita ibarat tempang sebelah kaki. Pinto sedang merawat kecederaan tendon Achilles manakala Santos alami kecederaan buku lali pada bulan lalu.

“Dua pemain ini telah memainkan peranan cukup penting buat kita musim ini, untuk kehilangan mereka pada perlawanan penting ini pastinya mengecewakan tapi kita perlu teruskan perjuangan dengan pemain yang ada.

“Secara positifnya kita ada pemain-pemain muda bersemangat tinggi dan komited yang boleh menggalas tanggungjawab. Kita tidak pernah layak ke final sejak 10 tahun lalu saya yakin ini akan membakar semangat anak-anak muda ini untuk menandingi bintang JDT dan dapatkan satu keputusan yang baik.”

Untuk rekod, Perak yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2000 layak ke separuh akhir setelah bangkit bergaya untuk menyingkirkan Pahang 4-3 secara agregat di suku akhir manakala JDT layak setelah mengatasi Melaka 4-2 secara agregat.

Mereka mempunyai rekod yang baik menentang skuad Harimau Selatan di gelanggang sendiri sejak dua musim kebelakangan apabila menang dua daripada tiga perlawanan iaitu 3-0 dalam saingan Piala Malaysia tahun lalu dan 2-1 dalam aksi Liga Super tahun ini.

Sementara itu, Gilmar yang sedang mendahului carta penjaring Piala Malaysia dengan lapan gol tekad mahu meneruskan sentuhan jaringannya bagi membantu kemaraan sang seladang namun berjanji tidak akan terlalu mengutamakan gemilang peribadi.

“Sudah tentu saya semakin bermotivasi tetapi apa yang penting adalah bermain secara sepasukan dan membantu Perak bukan sahaja untuk layak ke final tetapi juga muncul juara. Menjadi penjaring terbanyak tidak bermakna sekiranya gagal menamatkan kemarau trofi pasukan ini yang dahulunya kuasa besar bolasepak Malaysia.

“Kita pernah tewaskan mereka sebelum ini jadi saya tidak nampak sebab kita tidak boleh ulanginya. Kita hanya selangkah sahaja lagi dipisahkan dengan final jadi saya dan rakan sepasukan akan memberikan komitmen penuh,” ujar bekas penyerang Kelantan dan Sarawak itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -