Don't Miss

PERR 2017 : Kelantan tidak gentar jumpa Felda

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/10/perr-2017-kelantan-tidak-gentar-jumpa-felda">
Twitter
Pinterest

 

Kelantan akan melayan kunjungan Felda United dalam aksi suku akhir pertama Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Setelah dua musim berturut-turut cabaran tersekat di suku akhir, Kelantan bimbingan Kamaruddin Mohamad mensasarkan untuk melangkah lebih jauh dalam edisi kali ini.

Justeru pengurus pasukan juara 12 kali itu, Nudin Awang berkata mereka tekad memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk membawa bekalan selesa bagi menghadapi aksi timbal balik di Jengka pada 14 Oktober nanti.  

“Kita sudah membuat persiapan yang rapi dan bersedia menentang Felda. Kita mengingatkan kepada pemain bahawa ini adalah perlawanan wajib menang. Kita tidak boleh lalai, perlu menutup ruang dan perlu memburu seberapa banyak jaringan yang boleh agar tidak bermasalah di pusingan timbal balik nanti.

“Apa yang penting, berapa sekalipun jaringannya nanti, kita perlu menang. Kita tidak memandang mudah cabaran Felda kerana mereka sebuah pasukan bagus dan energetik, diperkuatkan pemain-pemain muda tetapi dalam masa sama kita tidak boleh gentar.

“Hanya kemenangan sahaja caranya untuk menyalakan peluang kita mara ke peringkat separuh akhir setelah kandas musim lalu kepada Kuala Lumpur dan Pahang pada 2015. Saya tidak mahu Kelantan dikecewakan sekali lagi,” ujar Nudin.

Untuk rekod, cabaran Kelantan dalam saingan edisi ke-77 musim ini dibawa oleh pasukan kelab yang beraksi dalam Liga FAM, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar raya Islam (MPKB-BRI).

Sang kijang yang kali terakhir bergelar juara pada 2010 mara ke suku akhir setelah tampil cemerlang mengungguli saingan Kumpulan D yang berlangsung di Pulau Pinang dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Manakala Felda United yang mempertaruhkan skuad Piala Presiden mereka pula melangkah ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C di belakang Putrajaya FC.

Selain aksi Kelantan menentang Felda United, dua lagi perlawanan suku akhir yang berlangsung pada Sabtu adalah Selangor menentang Perlis di Stadium Sungai Besar dan Putrajaya menentang Pulau Pinang di Stadium MMU, Cyberjaya.

Satu lagi perlawanan antara Kuala Lumpur dan PDRM akan berlangsung pada Ahad.  OLEH MUHD AIMAN 

 

Please follow and like us:
0