Kemuncak saingan jelajah berbasikal Jelajah Malaysia 2017 menyaksikan satu kejutan besar  apabila pasukan yang belum mencecah usia setahun, Sapura Cycling (SCT) muncul di peringkat keempat sekaligus mencuri dua daripada lima jersi yang dipertandingkan.

Percaturan Roure Escobar mempertaruhkan dua pelumba Colombia, Wilmar Jahir Perez Munoz dan Victor Nino Corredor tidak mengecewakan untuk menakluk puncak Gunung Jerai bagi pendakian kelas Hors hari ini.

Wilmar dan Victor hanya memulakan kayuhan sebenarnya sebaik pendakian menuju penamat di puncak Gunung Jerai dari Kulim dengan jarak kayuhan, 101.3 kilometer.

“Bagi Wilmar dan Victor, pendakian hari ini hampir sama dengan keadaan di negara mereka (Colombia). Perancangan kami adalah untuk mendapatkan jersi kuning dan Polka Dot di perlumbaan ini.

“Kami berjaya meraih jersi Polka Dot, Jersi Merah dan kemenangan peringkat pada hari ini, ianya keputusan yang baik selepas semua memainkan peranan dan bekerja keras,” kata Pengurus pasukan Sapura Cycling, Roure Escobar.

Henjutan Wilmar hanya bermula di kilometer terakhir selepas berkayuh di dalam peloton sejauh 80 kilometer di laluan landai tatkala tumpuan terarah kepada pelumba CCN Cycling Samuel Volkers yang melakukan breakaway sejak awal perlumbaan.

Beliau diekori rapat empat lagi pelumba antaranya Mohamad Izzat Helmi, Domnic Perez, dan  Mohamad Farid Razali (Sitra Kelantan).

Sebelum pendakian ke puncak Gunung Jerai, Samuel Volkers melakukan henjutan terlebih dahulu dan memulakan kayuhan pendakian sejauh 10 kilometer menuju ke penamat.

Namun, kayuhannya semakin perlahanan dan tanpa disedari, dua pelumba Sapura, Wilmar Jahir dan Victor Nino Corredor semakin merapatkan kedudukan sebelum memintas di kilometer terakhir.

Wilmar ternyata lebih bertenaga apabila terlebih dahulu melintasi penamat selaku juara peringkat keempat dengan catatan masa 2 jam 50 minit 41 saat.

Samuel Volkers akur berpuas hati selaku naib juara manakala Victor Nino Corredor ditempat ketiga.

Kemenangan Wilmar sekaligus mengesahkannya selaku raja bukit bagi Jelajah Malaysia 2017 selepas mengumpul 29 mata, mengatasi pelumba Oliver’s Real Food Racing, Brendan Davids dengan kelebihan 7 mata.

Tiada perubahan bagi empat lagi jersi, dimana pendahulu keseluruhan masih menjadi milik Brendon Davids, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki kekal dengan jersi hijau selaku raja pecut, manakala pelumba muda terbaik atau jersi kelabu turut menjadi milik Ryan Thomas dan Muhammad  Zawawi Azman mengekalkan gelaran selaku pelumba terbaik Malaysia. – OLEH KU MOHD LUFTI

 

Keputusan Peringkat Keempat Jelajah Malaysia 2017

Kulim (Kedah) ke Gunug Jerai (101.3KM)

  1. Wilma Jahir Perez Munoz (TSC) – 2:50:41
  2. Samuel Volkers (CCN) – 2:51:22
  3. Victor Nino Corredor (TSC) – 2:52:31
  4. Brendon Davids (OLI) – 2:54:40
  5. Lim Rustom (7RB) – 2:54:47

 

Kedudukan Jersi

Kuning: Brendon Davids (OLI)

Hijau : Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (TSG)

Polka Dot : Wilma Jahir Perez Munoz Brendon Davids (TSC)

Kelabu : Ryan Thomas (OLI)

Merah : Muhammad Zawawi Azman (TSC)

- Advertisement -