Pemain muda berusia 19 tahun, Lee Zii Jia mengambil masa kurang setahun untuk melonjakkan dirinya selaku pemain perseorangan lelaki nombor dua kebangsaan di belakang jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei.

Zii Jia mengambil alih kedudukan itu yang sekian lama dipegang oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin pada pertengahan bulan lalu berikutan beberapa pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun ini yang membantunya memperbaiki ranking dunia dari kedudukan 240 ke nombor 55 dunia. 

Status selaku pemain nombor satu negara kekal tidak terusik milik Chong Wei, pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik yang ketika ini berada di kedudukan ketujuh dunia.   

“Sememangnya saya sendiri terkejut untuk melihat peningkatan besar dalam ranking dunia saya pada tahun pertama bermain peringkat senior.

“Saya masih muda dan bermotivasi tinggi. Saya pergi ke setiap kejohanan tanpa tekanan dan keyakinan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik seterusnya meninggalkan impak,” katanya.

Zii Jia yang baru sahaja dinaikkan ke skuad pelapis kebangsaan pada Januari lalu memulakan tahun 2017 dengan mara ke separuh akhir Thailand Masters dan mengulangi pencapaian itu di Terbuka Taiwan pada Julai.

Dia kemudian mengambil bahagian dalam tiga kejohanan Eropah berturut-turut di Belgium, Poland dan Republik Czech pada bulan lalu yang mana menyaksikannya menjulang kejuaraan senior pertama dengan memenangi Siri Antarabangsa Poland.

Cabaran seterusnya buat pemain itu adalah Terbuka Bitburger di Saarbrucken, Jerman dari 31 Oktober – 5 November depan dan dia berazam mahu meneruskan prestasi cemerlangnya.

“Memang ianya satu perjalanan panjang dan memenatkan di Eropah tetapi sangat berbaloi. Saya telah meraih pengalaman cukup berharga, banyak belajar. Berjaya memenangi gelaran senior pertama membantu meningkatkan keyakinan saya walaupun ia hanyalah kejohanan kecil.

“Sudah tentu tahap kompetitif pertandingan di Bitburger adalah jauh berbeza, apa yang penting adalah saya perlu terus konsisten. Persediaan dari segi mental adalah kunci utama bagi mana-mana pemain muda seperti saya.

“Ianya mungkin mudah untuk mencapai sesuatu tetapi sukar untuk kekalkannya. Kita sudah lihat ramai pemain yang memenangi satu atau dua gelaran tetapi kemudian hilang dari radar. Saya perlu belajar menangani tekanan yang sentiasa hadir apabila ekspetasi itu adalah tinggi,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -