Sime Darby FC dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mengesahkan tempat mereka dalam saingan 100PLUS Liga Premier musim depan setelah masing-masing mencatat kemenangan di peringkat separuh akhir kedua Piala FAM yang berlangsung pada Ahad.

Kedua-dua pasukan akan berentap dalam aksi final yang akan berlangsung secara timbal balik pada 15 dan 22 Oktober ini untuk menentukan juara baru Piala FAM.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, gol tunggal jaringan Zulfahmi Awang yang menyempurnakan hantaran Juzaili Samion pada minit ke-41 sudah memadai untuk Sime Darby bimbingan Ahmad Yusoff menewaskan Felcra FC dengan keputusan 1-0.

Sime Darby mara dengan agregat sama setelah aksi separuh akhir pertama di Stadium Universiti Malaya pada minggu lalu berkesudahan seri tanpa jaringan sekaligus kembali ke saingan Liga Premier hanya semusim selepas tersingkir ke Liga FAM.

“Ia satu perlawanan yang cukup sukar dan mencabar, Felcra memberikan tentangan sengit namun kami lebih bertuah pada hari ini memandangkan Felcra gagal menyudahkan beberapa peluang mereka. Kami pula manfaatkan satu daripada peluang yang kami miliki menerusi serangan balas.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan pemain sepanjang musim ini bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan. Saya percaya kami memang berhak untuk kembali semula ke Liga Premier,” ujar Ahmad Yusof.

Bagi Felcra yang diperkuatkan dua pemain tonggak skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 – Adib Zainuddin dan N.Thanabalan – ini adalah kali kedua berturut-turut mereka tersingkir di peringkat separuh akhir. Musim lalu mereka tewas kepada PKNP FC.

Sementara itu, UKM FC bimbingan Sulaiman Hussin pula memerlukan jaringan pada masa tambahan oleh Faidzol Fazreen Shamsudin untuk menewaskan Shahzan Muda juga dengan jaringan 1-0 (agregat 1-0) seterusnya layak pertama kali dalam sejarah kelab itu beraksi di Liga Premier. OLEH MUHD AIMAN 

       

 

 

 

   

- Advertisement -