Lebih ramai penyertaan dijangka pada Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) 2017 Sirkit ke enam di KL Sports City, Bukit Jalil, esok.

Pertambahan bilangan peserta ini berdasarkan sambutan menggalakkan pada sirkit ke lima yang telah diadakan pada 30 September lalu yang diadakan pada sebelah malam.

Namun untuk kali ini, perlumbaan akan diadakan pada waktu siang bersempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN2017) 2017 dengan 12 kategori yang dipertandingkan.

Pengarah Kejohanan JCM, Yunus Ibrahim, bersempena sambutan HSN2017 saingan JCM2017 sirkit keenam dijangka lebih meriah dengan pembabitan pelumba dan juga orang ramai.

“Untuk sirkit keenam, perlumbaan bermula mulai jam 2 petang dan dijangka tamat empat jam selepas itu dimana trek perlumbaan sepanjang 1 kilometer (pusingan) dengan cabaran mendaki selepas selekoh zigzag bakal menanti semua pelumba.

“Lapan kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Perempuan B-15, B-17, B-19, Lelaki Elit, Lelaki Sportsclass(Novis dan Master), Terbuka Wanita, Push bike 2-4 tahun dan 5-7 tahun.

“Kami jangkakan penyertaan lebih ramai pada kali ini berdasarkan sambutan pada sirkit kelima dua minggu lalu,” jelasnya.

Yunus turut memaklumkan, selain KL City beberapa negeri lain turut sama menganjurkan Mini Kriterium JCM di negeri masing-masing sebagai tanda sokongan HSN2017.

“Beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah turut anjurkan Mini Kriterium JCM di negeri masing-masing bagi menyokong usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation),” jelasnya.

Untuk rekod, KL City merupakan venue kedua berturut-turut penganjuran JCM2017 dan keenam secara keseluruhannya selepas Negeri Sembilan, Ipoh, Pulau Pinang dan Sabah.

 

- Advertisement -