Kejayaan mengambil alih kedudukan pendahulu Sepaktakraw League (STL) Premier dari Penang Black Panthers pada minggu lalu tidak membuatkan Terengganu Turtles terbuai dan terlalu cepat mendabik dada.

Sebaliknya pasukan itu fokus mahu meneruskan momentum kemenangan dalam saingan minggu ketiga STL Premier apabila berdepan dengan Kuala Lumpur Thunder pada Sabtu disusuli aksi menentang Perak Bison pada Ahad ini.

Jurulatih pasukan dari pantai timur itu, Hami Khairi Roslan berkata, “Pemain perlu lupakan kemenangan lalu dan terus melihat ke depan. Perkara paling penting ketika ini adalah bagaimana kami menangani tekanan dan menunjukkan permainan yang konsisten dan meyakinkan.    

“Kita perlu akui tiada pasukan boleh diambil mudah, masing-masing ada kelebihan sendiri. Kita pernah tewas kepada KL Thunder tahun lalu dan mereka sudah tentunya bersemangat tinggi selepas bangkit dengan dua kemenangan (minggu lalu), begitu juga Perak.

“Kedua-dua pasukan kita ketahui punyai killer yang bagus, jadi kita perlu ada kepelbagaian taktikal untuk berhadapan dengan mereka, perkemas pertahanan dan tajamkan serangan. Fokus kita adalah dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dan saya percaya kita akan terus bertambah baik.”

Sebagai rekod, KL Thunder menyingkirkan Turtles di peringkat separuh akhir dalam saingan musim lalu sebelum tewas kepada Black Panthers dalam aksi final justeru perlawanan ini juga membuka peluang kepada Turtles untuk melunaskan dendam tersebut.

Sementara itu bagi KL Thunder, ianya dijangka bakal menjadi minggu yang cukup sukar mereka. Setelah pertemuan menentang Turtles, pasukan kendalian Azhar Sarabini itu yang berada di kedudukan ketiga akan berdepan pula dengan juara bertahan Penang Black Panthers pada Ahad.

Pemain kebangsaan, Norhafizi Razak yang menjadi tunjang melakar kemenangan ke atas Selangor Pistons dan Johor Tigris dijangka sekali lagi menjadi sandaran pasukan itu untuk meneruskan rentak cemerlang selepas terdahulu bermula dengan hambar tewas dua perlawanan di minggu pembukaan.

Selain pasukan di kelompok tiga teratas, tumpuan juga bakal terarah kepada dua pasukan yang gagal merakam kemenangan pada minggu lalu – Kelantan Warriors dan Johor Tigris yang ketika ini berada di kedudukan dua terbawah.

Kelantan Warriors akan membuka cabaran minggu ini dengan menentang Selangor Pistons manakala Tigris akan berdepan Perak Bison pada Jumaat, sebelum kedua-dua pasukan berentap sesama sendiri pada Sabtu.

Masing-masing perlu memburu kemenangan untuk bukan sahaja menghidupkan peluang mara ke separuh akhir tetapi dalam masa sama layak beraksi di STL Champions Cup.

- Advertisement -