Pengalaman bergandingan bersama tekong sensasi, Syahir Rosdi dalam skuad kebangsaan banyak membantu perejam, Hanafiah Dollah dalam membantu Terengganu Turtles mencipta kemenangan dramatik 2-1 ke atas Penang Black Panthers dalam aksi tumpuan Sepaktakraw League (STL) Premier di Stadium MPSJ pada Sabtu..

Hanafiah yang masuk menggantikan killer, Fadzli Roslan yang kurang efektif, mengubah haluan perlawanan berpihak kepada Turtles sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan itu dan mengambil alih kedudukan pendahulu menerusi tiga kemenangan dalam empat perlawanan.

Jelas, malam bukan milik Syahir yang melakukan 18 kesilapan servis daripada 59 keseluruhan yang menyaksikan banyak daripanya tersangkut di jaring, sebaliknya Turtles tampil dominan untuk mengesahkan kemenangan 22-20, 17-21, 21-19.

“Saya banyak berkongsi dengan rakan sepasukan mengenai gaya servis Syahir ketika beraksi bersama skuad kebangsaan. Ini banyak membantu kami dalam merencanakan strategi ke atas pasukan Penang,ā€ kata Hanafiah.

Tambah pemain apit kanan itu, ā€œKemenangan ini saya tujukan kepada peminat yang memberikan sokongan padu kepada kami malam ini (kelmarin). Ia adalah penyuntik semangat terbaik buat aksi akan datang.”

Hanafiah, Syahir dan apit kiri, Farhan Adam masih dikenang atas kejayaan merekaĀ  menamatkan dominasi Thailand dalam Siri Super Istaf 2014/2015 di Melaka.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, naib juara tahun lalu Kuala Lumpur Thunder mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (23-21, 21-14) manakala aksi awal menyaksikan Perak Bison menundukkan ATM Guardians 2-1 (21-16, 18-21, 21-19. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Jadual aksi keempat:

8 Oktober (Ahad): Kelantan Warriors lwn ATM Guardians (5 ptg), Kuala Lumpur Thunder lwn Johor Tigris (6 ptg), Perak Bison lwn Selangor Pistons (8 mlm)

- Advertisement -