Terengganu Turtles dan Penang Black Panthers mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Sepaktakraw League (STL) Premier 2017 setelah mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam aksi berlangsung pada Sabtu di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ).

Terengganu Turtles tidak bermasalah mencatat kemenangan 2-0 (21-9, 21-12) ke atas Kuala Lumpur Thunder manakala Penang Black Panther pula mengetepikan ATM Guardians juga dengan keputusan 2-0 (21-17, 22-20).

Ia adalah kemenangan keempat dari lima perlawanan buat kedua-dua pasukan dengan Terengganu Turtles bimbingan Hamikhairi Roslan kekal sebagai pendahulu mengatasi Black Panthers hanya menerusi beza set.

KL Thunder turun pada perlawanan ini dengan misi mahu meneruskan momentum kemenangan namun mendapati gandingan trio Zulkifli Razak-Safarudin Abu Bakar-Fadzli Roslan yang dipertaruhkan Terengganu Turtles terlalu unggul untuk disaingi.

Walaupun kehilangan khidmat Fadzli di pertengahan permainan kerana kecederaan, ia tidak sedikitpun merencatkan permainan Terengganu Turtles yang tampil hampir sempurna dengan servis dan rejaman bertenaga untuk mengecewakan gandingan KL Thunder (Aizat Nor Azmi-Amirul Zazwan Amir-Hafiz Rahman).

Black Panthers pula sekali lagi menyandarkan kepada tekong kebangsaan, Syahir Rosdi untuk bangkit melupakan kecewa kekalahan kepada Terengganu Turtles minggu lalu dan kembali ke landasan kemenangan. Pemain tinggi lampai itu berganding cemerlang dengan Zaim Razali dan Azlan Alias untuk menghadiahkan ATM Guardians kekalahan ketiga.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Kelantan Warriors menutup tirai saingan mereka bagi minggu ini dengan kemenangan kedua setelah gandingan Hisyam Mat-Aiman Azwawi-Naim Izani Noor menundukkan Johor Tigris yang membariskan Nazmi Nasar-Lutfil Hadi Azmi-Noraizat Nordin dengan keputusan 2-0 (21-16, 21-11).    

Ia adalah kemenangan ketiga buat pasukan pantai timur itu manakala Johor Tigris terus meratapi nasib malang dengan mengalami kekalahan kelima berturut-turut.

Saingan minggu ketiga akan kembali bersambung pada Ahad dengan Terengganu menentang Perak Bison, KL Thunder menentang Penang Black Panthers dan Selangor Pistons menentang ATM Guardians. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -