#PKBM perlukan perubahan

#Sistem pengurusan yang tiada jalan penyelesaian

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Wahab terus mencetuskan sikap negatif seakan akan mahu membuktikan kuasan mutlaknya dalam sukan tersebut.

Tiada usul periksa secara menyeluruh, Abu Samah menerusi laporan media tempatan membidas terhadap sistem masa yang digunakan di Velodrom Nasional di Nilai.

Isu timbul apabila pelumba trek pelapis negara, Nur Aiman Rusli kecewa kerana catatan masa 1 minit 3.492 saat mengatasi rekod Mohd Firdaus Zonis 1 minit 3.962 saat dalam acara 1km ujian masa di Kejohanan Trek Junior Cycling Malaysia (JCM) baru baru ini.

Pengarah Teknikal JCM, Yunus Ibrahim dalam laporan media tempatan telahpun menjelaskan catatan tersebut tidak diiktiraf kerana menggunakan catatan masa secara manual selain jadual yang padat kerana banyak kategori mengikut peringkat umur.

Malah, ia telahpun dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding sebelum kejohanan bermula.

Abu Samah pada 30 Oktober mempersoalkan penggunaan sistem catatan masa elektronik yang dibeli dari Belgium dan dilihat tidak sempurna.

Beliau juga mendakwa kontraktor Velodrom tidak mengadakan perbincangan dengan PKBM sebelum sistem masa dibeli.

Kegusaran Abu Samah adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dimana dijangka sebanyak 25 negara akan mengambil bahagian di kejohanan yang akan berlangsung tahun depan.

Hakikatnya, Abu Samah hanya mendengar laporan daripada sebelah pihak semata mata dan tidak menjalankan siasatan secara menyeluruh sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Meskipun beliau memegang kerusi utama sukan berbasikal di Malaysia, namun adakah Abu Samah berhak  untuk bersuara secara sewenang wenangnya? Sedangkan beliau sendiri tidak berada di lokasi sepanjang penganjuran JCM untuk melihat sendiri kejohanan tersebut.

Kenyataannya berhubung pertemuan khas diantara PKBM, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) , Datuk Lokman Hakim Ali dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang diwakili Datuk Ahmad Shapawi Ismail mencetus kontroversi apabila disahkan tidak tepat.

Malah, Abu Samah menunding jari ke arah pegawai media PKBM yang dikatakan tidak menyerahkan draf kenyataan media tersebut untuk disahkan sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Difahamkan perbincangan dan persetujuan diantara pihak penganjur JCM dan Komisar PKBM telah pun bersetuju untuk tidak menggunakan sistem masa elektronik yang ada susulan kekangan masa dan penyertaan yang terlalu ramai .

Malah, penganjuran Junior Cycling Malaysia bukan kejohanan yang diiktiraf oleh badan induk berbasikal dunia (UCI)dan tiada wakil organinasi tersebut ketika kejohanan berlangsung, justeru, isu catatan masa yang diperbaharui tidak perlu timbul.

JCM merupakan acara berbasikal yang dimulakan pada 2016 menumpukan pembangunan sukan berbasikal menerusi acara kriterium lebuhraya yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Hanya kelainan sedikit bagi tahun ini apabila acara trek diperkenalkan pada penghujung Oktober lalu selepas trek di Velodorm Kebangsaan di Nilai siap sepenuhnya.

Malah kategori BMX turut diperkenalkan; JCM BMX Challenge memandangkan Malaysia sudah mempunyai litar bagi acara ini yang bertaraf antarabangsa.

Pelbagai pihak bersusah payah untuk membantu dalam aspek pembangunan, namun sesetengah pihak tidak melihat ia sebagai perkara yang positif, sebaliknya mencari peluang untuk menundung jari.

Tidak dinafikan wujud masalah disana sini sepanjang penganjuran, tetapi sebagai individu yang bertanggung jawab dalam arena berbasikal negara, turun ke padang dan beri sokongan, bukan sekadar duduk di pejabat menanti laporan. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -