–foto BERNAMA (2017) 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyalurkan insentif berjumlah RM56,500 kepada 48 atlet yang mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas.

Panglima ATM Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata insentif berjumlah RM1,000 diberikan kepada atlet yang memenangi pingat emas, RM750 (perak) dan RM500 (gangsa).

“Atlet ATM diminta meneruskan kecemerlangan dalam sukan yang diwakili dan membawa nama ATM ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT) 2016 di Wisma Perwira di sini, malam ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Pada majlis itu, Tentera Laut Diraja Malaysia berjaya menjadi johan selama sembilan tahun berturut-turut apabila dinobatkan Johan Antara Perkhidmatan bagi 2016.

Laskar Kelas II Mohd Hafifi Mansor daripada sukan angkat berat dinobatkan sebagai Olahragawan 2016 manakala Laskar I S. Komalam Shally daripada sukan olahraga sebagai Olahragawati 2016.

Bintara Muda M. Balamurugam daripada Persatuan Olahraga ATM dianugerahkan Tokoh Jurulatih pada majlis itu.BERNAMA

 

- Advertisement -