Juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat keputusan melepaskan dua pemain import kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra selepas beraksi selama semusim sahaja.

Perkara tersebut itu dumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman rasmi Facebook, Johor Southern Tigers.

Dua pemain tersebut menyertai skuad Harimau Selatan itu pada Disember tahun lepas.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra. Pintu Johor Darul Ta’zim FC sentiasa terbuka untuk mereka dan kami yakin mereka akan menjadi sebahagian daripada kelab ini pada masa akan datang.

“Mereka berdua sangat profesional di dalam dan di luar gelanggang dan kami bertuah untuk memiliki kedua-dua pemain ini sebagai sebahagian daripada projek JDT.

“Terima kasih dan tahniah kerana membantu JDT memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia. Terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra,” kata Prest dalam entri terbaru dalam Facebook rasmi JDT itu.

Guerra dan Cabrera merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Ulisses Morais pada musim ini selepas berjaya memperagakan aksi terbaik untuk membantu JDT meraih kejuaraan berganda termasuk menewaskan Kedah 2-0 pada final Piala Malaysia 2017.

- Advertisement -