Malaysia mengesahkan tempat ke pentas final Kejohanan Futsal HDBank AFF 2017 selepas menundukkan tuan rumah, Vietnam 5-1.

Skuad kendalian Chew Chun Yong tidak menunggu lama untuk membuka tirai gol menerusi jaringan Mohd Khairul Effendy hasil sepakan percuma.

Gawang tuan rumah yang dikawal Nguyen Van Hui bolos kali kedua dalam tempoh dua minit, juga menerusi penyudah kemas Khairul Effendy hasil gerakan solo.

minit ke 14, pemain gantian Mohamad Awalluddin mencatat nama selaku penjaring ketiga skuad kendalian Chun Yong selepas memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan lawan.

Van Hui ternyata gagal mengekang asakan Malaysia apabila gawangnya terus dibolosi hasil jaringan Akmarulnizam Mohd Idris di minit ke 15 sebelum pemain gantian, Syed Aizad Daniel melebarkan jurang gol Malaysia kepada 5-0.

Tekanan mula memuncak di kem Malaysia apabila Muhammad Awaluddin Hasan dilayangkan kad merah sekaligus peluang terhidang dimanfaatkan pasukan tuan rumah.

Pemain tengah tuan rumah, Ngo Ngoc Son akhirnya memecahkan kebuntuan untuk Vietnam di minit ke 36, namun tidak mengubah hakikat Malaysia mara ke pentas final sekaligus bertemu Thailand pada 3 November nanti.

Manakala Vietnam akan bertemu Myanmar untuk perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.

 

 

 

 

 

 

- Advertisement -