Syamer

Juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) memperlihatkan keinginan untuk kekal sebagai lubuk pemain bintang apabila sah menandatangani dua pemain tonggak skuad B-23 kebangsaan, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba bagi menyarung jersi pasukan itu musim depan.

Nama Adam dan Syamer Kutty memuncak setelah membantu skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee memenangi pingat perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu malah telah disenaraikan dalam skuad senior bimbingan Nelo Vingada ketika aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara baru-baru ini.

Kemasukan dua pemain itu menjadikan JDT kini mempunyai sekurang-kurangnya 20 pemain kebangsaan, dengan lima daripadanya berusia di bawah 23 tahun termasuk Haziq Nadzli, Safawi Rasid dan Dominic Tan.

Jumlah itu dijangka bertambah dengan beberapa lagi pemain seperti Adib Zainudin, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid turut dikaitkan dengan kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest ketika mengesahkan mengenai perpindahan dua pemain itu berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan dua pemain yang mempunyai potensi baik dan masa hadapan yang cerah ini.

“Masing-masing mempunyai karakter yang kelab ini perlukan, keinginan untuk terus berkembang dan memenangi kejuaraan. Mereka adalah sebahagian daripada program jangka panjang kelab ini dan kami gembira mereka memilih kelab ini untuk mengembangkan karier.”

Adam yang berusia 21 tahun merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil – dia bermula sebagai penyerang ketika bersama Harimau Muda B sebelum diubah peranan sebagai pemain pertahanan ketika mewakili Selangor selama dua musim  bermula 2016.

Manakala Syamer Kutty yang berusia 20 tahun pula lebih diingati peranannya bersama pasukan muda kebangsaan berbanding ketika bersama Pulau Pinang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -