Sebaik diumumkan sebagai pengendali baru Harimau Malaya pada Mei lalu, Nelo Vingada ‘di minta’ untuk membawa dan mempersiapkan pasukan kebangsaan bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2019.

“Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami.

“Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

“Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan – dalam pasukan belia dan skuad utama – dan beberapa kelab yang telah beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada, dan harapnya, menemui kejayaan baru,”.

Demikian titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meneruski kenyataan media berhubung perlantikan Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Mesej yang mahu disampaikan oleh Tunku Ismail sebenarnya sudah cukup jelas. ‘Keajaiban’ tidak akan datang dalam tempoh enam bulan.

Hakikatnya, proses mendidik di Malaysia memerlukan masa, bukan boleh dibentuk dalam tempoh yang singkat.

Desakan ke atas Vingada untuk mendapatkan keputusan yang drastik dengan sumber yang terhad adalah tidak wajar sama sekali.

Mengapa Vingada perlu diberi tekanan untuk membawa pasukan kebangsaan ke Piala Asia 2019?

Kebanyakkan pasukan sudah bersedia sejak sekian lama dengan konsisten, sedang Malaysia ‘seronok’ dengan isu pertukaran jurulatih saban tahun.

Seharusnya Vingada atau the Professor diberi ruang yang lebih besar untuk beliau melihat dahulu corak pemain tempatan sebelum ‘memulakan sesi pembelajaran’.

Piala AFF seharusnya menjadi kunci petunjuk prestasi (KPI) yang utama untuk Vingada.

Selepas kali terakhir menjulang trofi Piala Suzuki AFF pada 2010, sentuhan kejuaraan terus malap hingga ke saat ini.

Vingada seharusnya bergembira dengan prestasi tiga pasukan pelapis negara; skuad bawah 16 tahun, 19 tahun dan 23 tahun yang layak ke final kejohanan masing masing.

Ia secara tidak langsung memberi gambaran awal, beliau mempunyai prospek terbaik untuk diajar.

Hakikat yang perlu ditelan setiap hari, Malaysia belum cukup maju untuk bersaing atau berdiri sama taraf dengan kuasa kuasa besar bolasepak Asia.

Pengendali skuad B19 negara sendiri mengakui, Malaysia ketinggalan 10 tahun berbanding Korea Selatan.

Kalah 1-4 kepada Korea Utara, bukan Vingada yang perlu menanggung segalanya, Berilah peluang kepada ‘profesor’ untuk mengajar dan mencari pelajar terbaiknya.-OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -