Kecemerlangan ditunjukkan skuad hoki negara sepanjang tahun 2017 mendapat ‘ganjaran’ dan pengiktirafan wajar apabila mereka akhirnya disenaraikan di dalam Program Podium 2018 sepertimana diumumkan Institut Sukan Negara (ISN) pada Jumaat.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen layak secara merit ke Piala Dunia 2018, kemudiannya mempertahankan dominasi di Sukan SEA Kuala Lumpur dan terbaru muncul selaku naib juara Piala Asia buat kali pertama setelah tewas kepada India beberapa minggu lalu.

Pencapaian itu jelas sudah cukup untuk meyakinkan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin ‘meluluskan’ penyenaraian hoki seramai 24 pemain ke dalam program Podium setelah mesyuarat bersama pihak pengurusan serta jawatankuasa prestasi tinggi pada Khamis.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, “Dari dulu saya cakap bukannya tiada peluang buat hoki, tetapi buktikan dulu, dan mereka telah buktikan. Mereka telah muncul kedua terbaik di Asia dan itu adalah perkiraannya. Dengan skuad seramai 24 pemain, hoki mempunyai ahli pasukan terbesar dalam Podium secara berpasukan.

“Kita ada sasaran spesifik untuk mereka, di mana kita harap mereka akan menyerlah dan menghadiahkan pingat di kedua-dua Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan. Sudah tentunya bila sudah menjadi nombor dua di Asia, mereka perlu terus meningkat dan cuba pulang dengan emas di Sukan Asia.”  

Di kala penyenaraian skuad hoki bukanlah sesuatu yang mengejutkan, apa yang menjadi pertikaian hebat adalah tindakan pihak Podium terus memberi layanan istimewa kepada skuad sepaktakraw yang bergelut dengan prestasi dan tidak mempunyai pencapaian membanggakan sekaligus tidak menepati kriteria pemilihan.

“Kita beri peluang untuk dia buktikan, bagi sepaktakraw, penilaian bagi adalah mengikut pertandingan. Kita yakin dia boleh hadiahkan pingat di Sukan Asia tahun depan, jadi itu adalah objektif dia. Tetapi dalam masa sama mereka akan ada pertandingan lain dan kita akan pantau perkembangan mereka.

“Atlet juga ada beberapa benda yang dia kena ikut, yang mana kita ada tetapkan beberapa kriteria pemilihan baru. Jangan terkejut jika saya kata antara kriteria baru tersebut adalah tidak merokok. Jadi jika salah seorang atlet mereka buat hal, seluruh skuad akan disingkir, dan ini bukan sahaja sepaktakraw, tetapi bagi semua atlet,” kata Abdul Azim lagi.  

Selain skuad hoki, beberapa atlet berprofil tinggi turut direkrut ke dalam Podium iaitu Irfan Shamsudin (lempar cakera), Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Jonathan Wong (menembak) manakala pencak silat menyaksikan pertambahan seramai empat pesilat iaitu Faizul Nasir, Taqiyuddin Hamid, Rosli Md Sharif dan Robial Sobri.

Tenpin boling pula menyaksikan pertambahan dua atlet iaitu Natasha Roslan dan Ahmad Muaz Mohd Fishol, selain Izzah Amzan (gimnastik berirama), Zharif Syahir Zolkepli (memanah), Auni Fatihah Khamis (boling padang), Azroy Hazalwafie (angkat berat) dan Yeap Wai Kin (wushu).     

Sementara itu, seramai 13 atlet digugurkan dari program ini didahului Wendy Ng (terjun) yang gagal dalam ujian doping pada Sukan SEA lalu, Siti Humairah Zabidin (pencak silat), Shree Sharmini Segaran (karate), Zulmazran Zulkifli (tenpin boling), Hafifi Mansor (angkat berat) dan Wong Poh San (gimnastik berirama).

Manakala tujuh lagi adalah atlet para iaitu Faizal Aideal Suhaimi, Amir Firdaus Jamaludin, Mohd Raduan Emeari (para olahraga), Hasihin Sanawi (para memanah), Sona Anak Agon (powerlifting) serta Jamery Siga dan Julius Juranding (para renang).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan atlet yang akan terbabit di dalam program Podium 2018 adalah seramai 146 orang – pertambahan seramai 39 atlet berbanding 120 atlet pada 2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -