Khidmat, pengalaman dan kepakaran yang ada pada bekas atlet negara akan dimanfaatkan dengan sebaiknya menerusi Kursus Sains Sukan Tahap 1 dibawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Jelas Penaung YAKEB, Datin Seri Rosmah Mansor, kursus dibawah Program Inisiatif Pendidikan Berterusan ini diharap mampu membentuk karakter bekas atlet sebagai seorang jurulatih yang bertauliah.

” Saya percaya bahawa untuk menjadi jurulatih, anda semua perlu mempunyai ilmu sains sukan, seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk meningkatkan lagi potensi atlet dengan kaedah yang betul dan berkesan.

“Justeru, saya menyeru kepada semua ahli YAKEB dan bekas atlet sekalian supaya mengambil peluang tersedia ini untuk meningkatkan lagi ilmu di dalam bidang sains sukan,” kata Rosmah.

Kursus Sains Sukan Tahap 1 merupakan asas yang merangkumi pengetahuan tentang sains sukan dan menerusi kerjasama dan penilaian dengan persatuan persatuan sukan kebangsaan, bekas atlet ini mampu untuk menaik taraf sijil pengiktirafan ke tahap yang lebih tinggi.

Terdahulu Datin Seri Rosmah Mansor hadir merasmikan Program Inisiatif Pendidikan Berterusan-Kursus Sains Sukan Tahap 1 di Bukit Jalil.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi ISN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN Dr. Mohd Khairi Zawi dan pemangku Pengerusi Yakeb, Mohd Azlan ISkandar.

Kursus yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada bekas atlet negara.

Input kursus merangkumi beberapa sesi antaranya Falsafah Sukan, Anatomi dan Fisiologi Sukan, Pemakanan Sukan, Perubatan Sukan, Biomekanik, Suaian Fizikal dan Psikologi sebelum menjalani ujian pada sesi terakhir kursus.OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -