Hala tuju Kasma Daniel Kasmayuddin pada tahun 2018 yang sering menjadi persoalan tidak menjejaskan fokus pelumba muda berbakat itu untuk memenangi pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 sebagai hadiah buat penyokong apabila turun beraksi di laman sendiri di Dataran Bandar Penawar, Johor, 18 dan 19 November ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu telahpun merangkul gelaran juara keseluruhan CP150 selepas pusingan kesembilan di Pulau Pinang dibatalkan dengan mengumpul 125 mata, 25 mata mengatasi Ahmad Afif Amran di kedudukan kedua.

“Perlumbaan di laman sendiri sangat penting. Sejak tahun 2015 dalam kategori CP115 saya telah memenangi semua perlumbaan di Johor. Jadi saya mahu mengekalkan rekod tersebut sebagai hadiah kepada keluarga dan penyokong saya. Lagipun ini perlumbaan terakhir, sudah tentu saya ingin menamatkannya dengan bergaya,” jelas Kasma.

Bercakap tentang hala tuju selepas musim 2017 berakhir, Kasma yang turut beraksi dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia di Sepanyol pada musim ini menjelaskan, “Perancangan ketika ini sudah ada dan perbincangan tentangnya juga sedang berjalan, saya meletakkan keputusan kepada pasukan untuk menentukan hala tuju saya selepas musim 2017 berakhir.

“Buat masa ini, saya hanya memikirkan tentang perlumbaan Cub Prix minggu ini. Saya mahu menikmati dan meraikan kejayaan saya bersama pasukan, keluarga dan penyokong saya. Selepas semuanya berakhir, barulah saya akan memikirkan tentang musim hadapan.”

- Advertisement -