FOTO – AFC

 

Pasukan Bolasepak bawah 19 tahun negara terus mempamer aksi yang mantap dalam saingan kelayakan Kejuaraan AFC B 19 apabila mencatat kemenangan 100 peratus dalam saingan kumpulan F.

Aksi ketiga peringkat kumpulan menyaksikan anak didik Bojan Hodak melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas pasukan Indonesia pagi tadi.

Selepas melakar dua kemenangan ke atas Timor Leste dan Brunei Darussalam, Malaysia turun berdepan negara jiran Indonesia.

Detik kecemerlangan anak didik Bojan Hodak bermula seawal minit ke tujuh apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Kedudukan berubah menjadi 2-0 minit ke 34 menerusi penyudah Akhyar Rashid yang bijak mengawal hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan rendah.

Indonesia yang menjadi tuan rumah bagi Kejuaraan B 19 AFC tahun depan bangkit merapatkan jurang gol di penghujung perlawanan.

Kesilapan penjaga gol negara, Muhd Azri Ghani yang gagal menangkap kemas percubaan lawan dimanfaatkan dengan sebaiknya Hanis Saghara Putra untuk menolak bola ke dalam gawang Malaysia.

Jaringan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak didik Bojan Hodak apabila melakar gol pantas sebaik babk kedua bermula.

Pemain pertahanan, Shivan Pillay Asokan melakar nama selaku penjaring ketiga Malaysia untuk kembali melebarkan kedudukan kepada 3-1 di minit 47.

Tekanan tampak semakin memuncak ke atas pasukan Indonesia apabila pemain pertahanan, Muhamad Luthfi Baharsyah melakukan terjahan keras ke atas pemain negara sekaligus dihadiahkan sepakan penalti.

Hadi Fayyadh tidak mensia siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol Indonesia, Gianluca Pagliuca Rossy untuk kali kedua di minit ke 52 untuk kedudukan 4-1 memihak Malaysia.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan kelayakan menentang tuan rumah, Korea Selatan pada Rabu sekaligus menentukan kedudukan 1 atau 2 bagi kumpulan F.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia menduduki tangga kedua kumpulan, berkongsi 9 mata dengan pendahulu, Korea Selatan dan dibezakan dengan jumlah jaringan.

Tuan rumah, Korea Selatan dalam pada itu, turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menundukkan Timor Leste 4-0 .

Hanya satu gol terhasil di babak pertama perlawanan menerusi Jeon Sejin sebelum Korea Selatan menambah 3 gol dalam masa 10 minit di penghujung perlawanan.

Pemain gantian, Cho Young Wook meledak dua gol di minit ke 80 dan 86 manakala seorang lagi pemain gantian, Lee Kangin melengkapkan pesta gol tuan rumah dengan gol keempat pada masa tambahan.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

 

 

 

- Advertisement -