Malaysia begitu hampir mencipta sejarah memenangi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) buat pertama kali namun pada akhirnya terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara setelah kecundang 3-4 kepada Thailand dalam aksi final.

Beraksi di pentas final buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun, skuad negara tampil dengan permainan bertenaga dan bermula dengan cukup cemerlang untuk mendahului pasukan juara bertahan itu 2-0 dalam tempoh tujuh minit pertama.

Jaringan Awalludin Mat Nawi pada minit kelima dan Ridzwan Bakri pada minit ketujuh meletakkan Malaysia terbang di awangan seketika sebelum Thailand mengecilkan jurang pada minit ke-12 menerusi jaringan Tanachot Sosawaeng untuk kedudukan 1-2 di separuh masa pertama.

Skuad negara mengambil masa hanya tiga minit permainan bersambung di separuh masa kedua untuk kembali mendahului dengan beza dua gol menerusi sentuhan penyudah Awaluddin Hassan sekaligus dilihat berada dalam landasan terbaik menoktahkan dominasi Thailand yang memburu kejuaraan ke-13.

Thailand yang tidak pernah tewas dalam aksi final bagaimanapun meleburkan impian besar Malaysia apabila bangkit menerusi jaringan ayam tambatan mereka, Muhammad Osamanmusa pada minit ke-27 dan Jetsada Chudech empat minit kemudian sekaligus menyaksikan perlawanan masa sebenar berkesudahan seri 3-3.

Jaringan Ronnachai Jungwongsuk pada minit keempat masa tambahan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan sekaligus membawa Thailand muncul juara buat kali keenam berturut-turut.

Meskipun tewas, skuad bimbingan Chiew Chun Yong tetap boleh berbangga dengan prestasi yang telah ditunjukkan untuk mengekang Thailand apatah lagi ini adalah kali pertama dalam sejarah 14 edisi Kejuaraan Futsal AFF, perlawanan akhir berlangsung begitu sengit dan pemenang terpaksa ditentukan dalam masa tambahan.   

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Myanmar yang mengecewakan tuan rumah Vietnam 4-3 menerusi tendangan penalti setelah aksi masa sebenar berkesudahan 2-2.

Vietnam pada satu ketika mendahului 2-0 menerusi jaringan Phung Truong Luan dan Dhan Phat namun berputih mata apabila membenarkan Myanmar bangkit mengikat kedudukan menerusi Kyaw Soe Moe dan Nyein Min Soe.

Kesemua empat pasukan layak beraksi di Kejuaraan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Taiwan tahun hadapan.OLEH MUHD AIMAN 

  

- Advertisement -