Skuad senior negara terus hambar dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 selepas tewas 1-4 di tangan Korea Utara.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang neutral, Stadium I Mobile, Buriram, Thailand memperlihatkan barisan longlai anak didik Nelo Vingada.

Jaringan pembukaan Korea Utara hadir di minit 11 hasil penalti Pak Kwan-ryong selepas bola terkena tangan kapten skuad kebangsaan, Fadhli Shas.

Kedudukan berubah menjadi 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama apabila giliran Kim Ju-song melakar nama selaku penjaring kedua Korea Utara.

Gandingan kesebelasan utama yang dipilih Vingada terus hambar apabila pasukan lawan menambah dua lagi gol dibabak kedua perlawanan.

Kim Kyong-il melebarkan jurang gol untuk pasukannya tiga minit selepas babak kedua bermula sebelum rakan sepasukan Jong Il-gwan menambah derita Harimau Malaya dengan gol keempat di minit ke 59.

Sisa perjuangan Harimau Malaya kembali semula di minit ke 66 apabila Safawi Rasid mengurangkan defisit gol 1-4 untuk Malaysia.

Kedudukan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Malaysia menerima kekalahan ketiga selepas empat perlawanan.

Malaysia akan kembali berdepan Korea Utara di Stadium I Mobile pada 13 November sekaligus melengkapkan perlawanan bagi tahun 2017.

Skuad kendalian Nelo Vingada hanya meraih satu mata hasil keputusan seri dengan Hong Kong pada 5 September, berada di tangga tercorot kumpulan B.

Manakala Korea Utara hampir pasti layak ke Piala Asia 2019, berkongsi lima mata dengan Hong Kong, dibezakan dengan jumlah gol.

Keputusan selepas empat perlawanan yang telah diharungi memberi bayangan, peluang Malaysia untuk layak secara merit ke Piala Asia 2019 hampir pasti tertutup.- OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -