Melaka United membuktikan cakap-cakap mahu menjadi antara pencabar terkuat Liga Malaysia musim depan bukan sekadar omong kosong apabila terus memperkasakan pasukan dengan merekrut dua bekas pemain JDT, S. Chanturu dan R. Gopinathan.

Chanturu yang mula melonjak namanya ketika menjadi antara tonggak skuad Kelantan yang menjulang treble pada 2012 pernah turut menyarung jersi Perak dan Sarawak sebelum mewakili JDT selama tiga musim bermula 2015.

Bersama skuad harimau selatan, pemain berusia 30 tahun itu menjulang Liga Super tiga musim berturut-turut, Piala AFC pada 2015, Piala FA pada 2016 dan terbaru Piala Malaysia pada awal bulan ini.

Manakala Gopinathan pula mencipta nama bersama negeri kelahirannya Pahang selama enam musim dengan menjadi tonggak membantu tok gajah menjulang Piala Malaysia 2013 dan 2014 serta Piala FA 2014, sebelum berhijrah ke Selangor pada 2016 dan JDT pada 2017.

Dengan kehadiran dua pemain itu yang mempunyai reputasi besar dalam arena bolasepak tempatan bermakna Melaka kini sudah membawa masuk tujuh pemain baru termasuklah Zamir Selamat, Faridzuen Kamarudin, Shazlan Alias, Azmi Muslim dan Farderin Kadir.

Melaka juga akan diperkuatkan dengan khidmat penyerang utama pasukan itu ketika musim 2015, Nursyamil Abdul Ghani dan Akmal Ishak – masing-masing beraksi secara pinjaman dengan pasukan lain musim ini dengan Nursyamil mewakili Selangor dan Akmal bersama PJ Rangers.

Begitupun, di sebalik berjaya mendapatkan beberapa nama besar, tamparan hebat buat pasukan kendalian Eduardo Almeida itu apabila penyerang JDT, Mohamed Ghaddar yang juga penjaring terbanyak Liga M musim ini menolak tawaran bermain dengan mereka walaupun telah mendapat lampu hijau dari JDT.

Pemain itu yang menjaringkan 29 gol sepanjang 2017 bersama Kelantan dan JDT masih mempunyai kontrak bersama JDT namun sudah diberitahu dia tiada dalam perancangan jurulatih Ulises Morais bagi musim depan dengan JDT telahpun merekrut semula dua bekas pemain import mereka, Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata pihaknya menerima secara terbuka keputusan penyerang Lubnan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Eduardo untuk mencari pengganti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -